TERTUDUH dijatuhi hukuman penjara 45 tahun dan 42 sebatan di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu kerana merogol anak tirinya. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
TERTUDUH dijatuhi hukuman penjara 45 tahun dan 42 sebatan di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu kerana merogol anak tirinya. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Seorang penghantar barang dijatuhi hukuman penjara 45 tahun dan 24 sebatan di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini kerana merogol anak tirinya.

Hakim Nooriah Osman membuat keputusan itu selepas tertuduh yang berusia 33 tahun didapati bersalah terhadap empat pertuduhan mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan (KK) dan satu pertuduhan mengikut Seksyen 377CA KK.

Mengikut pertuduhan pertama hingga keempat, tertuduh didakwa merogol mangsa yang ketika kejadian berusia 11 tahun di sebuah rumah di Kuala Nerus.

Bagi pertuduhan kelima, tertuduh didakwa melakukan amang seksual terhadap mangsa.

Kesemua kesalahan itu dilakukan tertuduh antara Jun 2021 hingga November 2021

Bagi pertuduhan mengikut Seksyen 376 (3) KK, tertuduh dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan 10 sebatan bagi setiap pertuduhan.

Tertuduh turut dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan bagi kesalahan mengikut Seksyen 377CA KK.

Mahkamah kemudian mengarahkan hukuman penjara bagi pertuduhan pertama hingga ketiga berjalan secara berasingan.

Bagaimanapun, hukuman penjara bagi pertuduhan keempat dan kelima berjalan serentak dengan hukuman penjara bermula daripada tarikh sabitan iaitu hari ini.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nabihah Hanin Ayim manakala tertuduh diwakili peguam, Abdul Rahman Razak.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Februari 2024 @ 6:05 PM