Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Seorang buruh dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku salah atas pertuduhan merogol anak saudaranya.

Tertuduh berusia 49 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nooriah Osman.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol mangsa yang berusia 14 tahun di sebuah rumah di daerah ini, jam 4 pagi pada hujung September lalu.

Dia yang didakwa mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan berdepan hukuman penjara tidak kurang lapan tahun dan tidak lebih 30 tahun dan dikenakan sebatan tidak kurang dari 10 sebatan, jika sabit kesalahan.

Mahkamah memerintahkan hukuman dijalankan bermula daripada tarikh tertuduh ditangkap pada 20 Oktober lalu.

Selain itu, tertuduh yang berdepan satu lagi pertuduhan mengikut Seksyen 377B kanun sama mengaku tidak bersalah melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii terhadap mangsa di lokasi, masa dan tarikh sama.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 29 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Intan Nor Hilwani Mat Rifin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Oktober 2021 @ 4:52 PM
Seorang buruh dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan 10 sebatan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merogol anak saudaranya. FOTO GHAZALI KORI
Seorang buruh dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan 10 sebatan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merogol anak saudaranya. FOTO GHAZALI KORI