ANWAR di Dewan Rakyat hari ini. FOTO Bernama.
ANWAR di Dewan Rakyat hari ini. FOTO Bernama.
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengkritik tindakan Ahli Parlimen Pembangkang yang keluar dewan selepas mendakwa kerajaan tidak mengikut Aturan Urusan Mesyuarat.

Ia berlaku ketika persidangan Dewan Rakyat sesi petang, hari ini dengan Ahli Parlimen Pembangkang mempertikai penyenaraian penerangan menteri secara tiba-tiba, berbanding meneruskan perbahasan titah Yang di-Pertuan Agong.

Mengulas perubahan itu, Anwar berkata, apa yang mahu dinyatakan olehnya adalah ucapan tahniah kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan penghargaan atas khidmat bekas Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

"Saya sepatutnya datang pagi tadi. (Tapi) Pagi tadi kita ada kunjungan rasmi daripada Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet. Disebabkan itu, saya mohon kebenaran Yang Dipertua (Tan Sri Johari Abdul) supaya bentangkan jam 2.30 petang sebab program dengan Perdana Menteri Kemboja pada jam 1.45 petang.

"Mengikut Perkara 14 (1)(I) dan 14(1)(J) ini mengambil kira apa yang kita anggap harus didahulukan. Kalau kita nak ucapkan terima kasih kepada bekas Yang di-Pertuan Agong selepas akhir sidang, itu tidak munasabah," katanya semasa sesi perbahasan titah diraja.

Anwar berkata, pembangkang menunjukkan sikap tidak sopan dan tidak menghormati institusi Yang di-Pertuan Agong apabila bertindak keluar dewan.

"Mereka boleh bantah proses, tetapi kita pertahankan proses dan Yang di-Pertua telah buat keputusan.

"Inilah masalah dalam negara kita ini setelah dengar titah Tuanku, tidak faham kerana dendam kesumat dan cemburu buta," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Februari 2024 @ 4:55 PM