DZULKEFLY Ahmad ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri pada Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. FOTO BERNAMA
DZULKEFLY Ahmad ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri pada Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Keputusan kerajaan untuk kembali memberi tumpuan kepada pelaksanaan Skim Perubatan MADANI di 10 daerah sahaja seperti pada fasa satu skim itu mulai Isnin lepas, dibuat selepas mengambil kira kemampanan pembiayaan kewangan semasa kerajaan, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata ini memandangkan setakat hari ini, kerajaan telah membelanjakan RM78.73 juta daripada peruntukan RM100 juta bagi skim perubatan itu.

Katanya dengan anggaran perbelanjaan ini, peruntukan untuk skim berkenaan yang dilancarkan pada 15 Jun lepas, dijangka akan habis digunakan menjelang April ini.

"Justeru dalam merangka apa juga dasar kesihatan, ia mesti memenuhi 'health outcome' lebih baik, lebih mampan dan pembiayaan yang lebih mantap dan berjangka jauh," katanya.

Beliau menjawab soalan Datuk Dr Alias Razak (PN-Kuala Nerus) mengenai justifikasi kerajaan meneruskan skim itu di 10 daerah terpilih sahaja sedangkan Kementerian Kesihatan (KKM) menerima peruntukan RM100 juta dalam Belanjawan 2024 untuk menambah baik skim perubatan berkenaan.

ProtectHealth Corporation (ProtectHealth) dalam kenyataan pada 27 Februari lepas memaklumkan 10 daerah itu ialah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur; Gombak, Hulu Langat, Petaling Jaya, Klang (Selangor); Johor Bahru (Johor); Kinta (Perak); kawasan Timur Laut Pulau Pinang; Kota Kinabalu (Sabah) dan Kuching (Sarawak).

Dzulkefly berkata berdasarkan perbelanjaan lepas dan unjuran semasa, anggaran perbelanjaan seminggu di 10 daerah dalam fasa satu Skim Perubatan MADANI adalah RM1.7 juta dan kerajaan dijangka memerlukan RM12 juta hingga RM15 juta seminggu jika mahu melaksanakannya di seluruh negara.

Beliau berkata sebelum ini skim berkenaan telah diperluas ke 11 daerah lagi menerusi fasa kedua iaitu Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Kota Bharu, Pasir Mas, Kota Setar, Kuala Muda, Seremban, Kuantan, Melaka Tengah, Perlis, dan Sesberang Perai Tengah pada 8 Ogos lepas.

Bagaimanapun katanya mulai 26 Februari lepas, Skim Perubatan MADANI memberi tumpuan operasi kepada 10 daerah (fasa satu) bagi tujuan memantapkan dan memperkemaskan lagi operasi skim perubatan itu memandangkan kesesakan di fasiliti KKM daerah lain telah berkurangan.

Bagi mencapai objektif mengurangkan kesesakan, beliau berkata inisiatif-inisiatif KKM termasuk pelaksanaan waktu operasi tambahan di klinik-klinik kesihatan yang dikenal pasti dan Skim Perubatan MADANI, akan diselaraskan dari semasa ke semasa berdasarkan kepada perkembangan dan keperluan.

Kumpulan B40 yang menerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) boleh mendapatkan rawatan bagi sakit-sakit ringan percuma di klinik perubatan swasta (GP) yang berdaftar di bawah Skim Perubatan MADANI.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Februari 2024 @ 2:14 PM