Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim
Mohd Iskandar Ibrahim


Putrajaya: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan semua Ahli Parlimen Kerajaan Perpaduan supaya menjaga kehadiran sepanjang persidangan Dewan Rakyat yang berlangsung mulai esok.

Perdana Menteri turut mengingatkan Ahli Parlimen supaya memastikan perbahasan yang disampaikan adalah berkualiti serta berasas.

Peringatan itu disampaikannya kepada semua menteri, timbalan menteri dan Ahli Parlimen kerajaan pada sesi taklimat pra persidangan Dewan Rakyat di Seri Perdana, di sini, hari ini.

Perkara itu dikongsikan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, Perdana Menteri juga menasihatkan semua Ahli Parlimen untuk menjaga tingkah laku masing-masing sepanjang persidangan berlangsung.

"Sesi taklimat sudah selesai dan Perdana Menteri mahu semua Ahli Parlimen jaga kehadiran dan perbahasan masing-masing.

"Perdana Menteri mahukan supaya perbahasan mestilah yang terbaik dan berasas selain beliau mahu semua Ahli Parlimen mengurangkan karenah," katanya.

Menurutnya, selain amanat Perdana Menteri, semua Ahli Parlimen turut mendengar taklimat berkaitan perjalanan Parlimen daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.

Sesi yang berlangsung kira-kira tiga jam bermula 9.30 pagi itu turut dihadiri kedua-dua Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof.

Persidangan Dewan Rakyat Penggal Ketiga Parlimen ke-15 bermula esok sehingga 27 Mac ini.

Antara yang dijangka menjadi tumpuan ialah Pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 dan Pindaan Perlembagaan Berkaitan Soal Kewarganegaraan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Februari 2024 @ 1:24 PM