JENERAL Tan Sri Affendi Buang mendengar taklimat daripada Panglima 3 Briged Infantri, Brigedier Jeneral Isa Jaafar mengenai Ops Benteng di sempadan Malaysia-Indonesia hari ini. FOTO Mohd Roji Kawi
JENERAL Tan Sri Affendi Buang mendengar taklimat daripada Panglima 3 Briged Infantri, Brigedier Jeneral Isa Jaafar mengenai Ops Benteng di sempadan Malaysia-Indonesia hari ini. FOTO Mohd Roji Kawi
Mohd Roji Kawi


ANGKATAN Tentera Malaysia (ATM) giat mengesan pegawai dan anggotanya yang disyaki menjadi tali barut bersekongkol dengan sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan pemerdagangan manusia.

Panglimanya Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan pegawai dan anggotanya yang terbabit dalam kesalahan serius itu.

Katanya, siasatan dalaman sedang dijalankan dan beliau memberi jaminan mereka yang melakukan kesalahan itu akan dikesan.

"Mana yang sudah kena tangkap (ditahan polis) terserah kepada polis untuk mengambil tindakan mengikut undang-undang awam.

"Mana-mana yang mungkin masih terbabit, kami akan cari dan tentukan mereka dapat dikesan," katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke Pos Gabungan ATM dan Tentera Nasional Indonesia di Kem Jawatankuasa Perancang Gerakan Biawak, Lundu, hari ini.

Menurutnya, mereka didapati melakukan kegiatan yang mengancam kedaulatan negara akan menerima tindakan sewajarnya.

"Saya tidak akan memberitahu apa tindakan yang dikenakan terhadap mereka, tetapi saya jamin ia pembalasan yang setimpal," katanya.

Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador mendedahkan polis mengenal pasti puluhan pegawai dan anggota polis serta ATM bersekongkol dengan sindiket penyeludupan PATI.

Terdahulu, Affendi meninjau kawasan operasi anggota Tentera Darat Malaysia di salah satu titik atau lokasi lorong tikus di sekitar Biawak.

Beliau berkata, sepanjang Ops Benteng dilaksanakan, sebanyak 49 lokasi laluan tikus baharu dikesan di seluruh Sarawak.

"Kawalan operasi ini adalah sebahagian daripada pelaksanaan Ops Benteng yang diletakkan di bawah koordinasi ATM melalui penubuhan National Task Force.

"Operasi ini dilaksanakan bagi mengawal ketat sempadan secara bersepadu bersama agensi penguatkuasaan dan keselamatan yang lain bagi menangani jenayah rentas sempadan terutama menyekat pencerobohan PATI selain mengekang penularan pandemik Covid-19 yang mungkin dibawa oleh pendatang itu," katanya.

Beliau berkata, sebanyak 10 lagi pos kawalan sempadan akan dibina di Sarawak bagi meningkatkan kemampuan mengawasi pencerobohan di sempadan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Jun 2020 @ 2:04 PM