LOKASI yang dicadangkan Fama untuk dijadikan pusat pengumpulan dan pemasaran Duku Terengganu di Kampung Tanjung Putat, Kuala Berang. FOTO Nazdy Harun
LOKASI yang dicadangkan Fama untuk dijadikan pusat pengumpulan dan pemasaran Duku Terengganu di Kampung Tanjung Putat, Kuala Berang. FOTO Nazdy Harun
Nazdy Harun

Kuala Berang: Keluhan petani dan pekebun daerah ini dalam memasarkan hasil tani mereka dalam perhatian Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Terengganu.

Ia termasuk desakan untuk mewujudkan pusat pengumpulan setempat untuk semua produk segar terutama Duku Terengganu yang meletakkan daerah ini sebagai pengeluar terbesar negeri.

Pengarah Fama negeri, Muhamad Fadlee Hassan berkata, pihaknya bercadang membangunkan pusat pengumpulan buah itu di Kampung Tanjung Putat.

Katanya, ia akan dibangun di atas tanah berkeluasan 1.5 hektar yang boleh juga dijadikan pusat hasil pertanian terbesar negeri.

Menurutnya, ketika ini, Terengganu mempunyai 13 lokasi pengumpulan duku dengan tujuh daripadanya terletak di Hulu Terengganu.

"Keluasan tanah bagi tanaman Duku Terengganu keseluruhannya adalah 831.4 hektar manakala bagi Hulu Terengganu pula adalah 428.6 hektar iaitu separuh daripada tanaman duku negeri.

"Justeru, Fama bercadang mewujudkan pusat pengumpulan dan pemasaran di daerah ini, memandangkan daerah ini adalah pengeluar terbesar Duku Terengganu," katanya.

Muhamad Fadlee berkata tahun lalu yang berakhir pada 31 Oktober, pihaknya membeli 450 tan metrik Duku Terengganu di seluruh negeri sebelum dipasarkan.

Katanya, pengeluaran Duku Terengganu tahun lalu juga mencapai 3,734 tan metrik yang bernilai RM6,721,000 dengan pengeluaran buah itu di Hulu Terengganu mencecah 1,872 tan metrik (RM3,370,90).

Menurutnya, Duku Terengganu adalah komoditi yang mempunyai jangka hayat pendek iaitu tiga hari dan waktu pungutan pada sebelah pagi perlu terus dihantar untuk dijual di pasaran pada sebelah petang.

"Justeru dengan wujudnya pusat pengumpulan terbesar ini diharap dapat mempercepatkan proses berkenaan," katanya.

Akhbar ini semalam melaporkan keluhan petani dan pekebun dalam memasarkan hasil disebabkan ketiadaan pusat pengumpulan setempat.

Sebarang masalah di kawasan anda boleh dikongsi ke e-mel Suara Anda, Kami Dengar di

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Februari 2024 @ 7:00 AM