TAUFID (kiri) bersama pegawai FAMA menyusun tebu telur untuk dihantar kepada peniaga. FOTO Baharom Bakar
TAUFID (kiri) bersama pegawai FAMA menyusun tebu telur untuk dihantar kepada peniaga. FOTO Baharom Bakar
Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Terputus bekalan tebu menjadi punca peniaga air tebu di negeri ini tidak dapat menjual minuman berkenaan sejak awal Ramadan lalu.

Masalah dihadapi itu bagaimanapun selesai apabila Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) negeri membekalkan kira-kira 12.5 metrik tan tebu telor bagi membantu peniaga air tebu.

Pengarah FAMA negeri, Muhamad Fadlee Hassan berkata, bekalan tebu telur diperolehi daripada pengusaha tanaman kontan di Lancang, Pahang.

"Setakat ini kami sudah membekalkan 5,000 batang tebu dianggarkan seberat kira-kira 12.5 tan metrik kepada peniaga air tebu di negeri ini," katanya tadi.

Mengulas lanjut, Muhamad Fadlee berkata, pengusaha tanaman kontan di seluruh negeri ini tidak mampu memenuhi permintaan yang meningkat susulan cuaca panas sepanjang Ramadan.

"Kami dimaklumkan, kebanyakan peniaga air tebu membuat tempahan untuk mendapatkan bekalan tanaman kontan itu beberapa bulan sebelum Ramadan," katanya.

Muhamad Fadlee turut mengesahkan, ramai peniaga air tebu merungut dan mencadangkan FAMA negeri membantu untuk mendapatkan bekalan.

"Kami mendapat kerjasama daripada FAMA Pahang bagi menyalurkan bekalan tebu telur sehingga Jun depan," katanya.

Seorang peniaga air tebu, Saipul Habib, 42, dari Kampung Ladang, di sini, berkata dia terpaksa menutup perniagaan selama tiga hari lalu berikutan kesukaran mendapatkan bekalan tebu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mac 2024 @ 1:22 PM