FAUZI (tiga dari kanan) dan Wan Hapandi (empat dari kanan) melawat tapak pesta buah milik FAMA di Arena Merdeka, Dungun, hari ini. FOTO Rosli Ilham.
FAUZI (tiga dari kanan) dan Wan Hapandi (empat dari kanan) melawat tapak pesta buah milik FAMA di Arena Merdeka, Dungun, hari ini. FOTO Rosli Ilham.
Rosli Ilham


TERENGGANU dijangka memasarkan lebih banyak duku, tahun ini berikutan pengeluaran hasil buah itu yang lebih baik berbanding tahun lalu.

Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Terengganu, Fauzi Mohamed berkata, pihaknya menjangkakan hasil buah itu mencecah kira-kira 1,000 tan metrik selepas Aidiladha nanti.

Berikutan itu, beliau berkata, pihaknya sudah bersiap sedia untuk memasarkan buah kebanggaan negeri itu ke luar negeri.

“FAMA percaya tidak akan berlaku lambakan kerana buah ini akan kami pasarkan ke negeri luar antaranya Johor, Pulau Pinang dan Kedah.

“Selain itu, kami akan membawa usahawan duku Terengganu menjelajah pesta buah diadakan di seluruh negeri ini,” katanya ketika mengadakan lawatan ke tapak pesta buah di Arena Merdeka, Dungun, hari ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Wan Hapandi Wan Nik.

Sementara itu, Fauzi berkata, Terengganu mengeluarkan kurang daripada 1,000 tan metrik durian, tahun ini.

“Tahun ini durian di Terengganu agak menjadi selepas beberapa tahun kurang hasil terutama sejak 2014 selepas banjir besar melanda.

“Kesan banjir besar pada 2014 menyebabkan akar pokok durian rosak dan itu antara punca buah tidak menjadi,” katanya.

Katanya, selain durian Terengganu, kemasukan durian dari Dabong, Kelantan turut membantu penduduk Terengganu menikmati harga durian lebih murah berbanding sebelum ini sekitar RM15 hingga RM25 sekilogram.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Ogos 2018 @ 10:42 PM