SAIFULAMIN dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas 25 pertuduhan menerima suapan sebanyak RM16,150, antara 2019 hingga tahun lalu. FOTO Nur Aisyah Mazalan
SAIFULAMIN dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas 25 pertuduhan menerima suapan sebanyak RM16,150, antara 2019 hingga tahun lalu. FOTO Nur Aisyah Mazalan
Izz Laily Hussein

Johor Bahru: Penjawat awam dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas 25 pertuduhan menerima suapan berjumlah RM16,150 antara 2019 hingga tahun lalu.

Tertuduh Saifulamin Sabran, 52, yang bertugas sebagai juruteknologi makmal perubatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini, mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Bagi semua pertuduhan itu, tertuduh sebagai penjawat awam didakwa setuju menerima untuk dirinya keseluruhan sebanyak RM16,150 daripada enam individu tanpa balasan yang mana tertuduh tahu ia ada kaitan dengan tugas rasminya.

Semua wang antara RM500 hingga RM2,000 itu didakwa diterima melalui beberapa akaun bank milik enam individu yang menjadi pengantara di enam cawangan bank berbeza di Johor Bahru, Kota Tinggi, Kulai dan Kluang.

Kesalahan didakwa dilakukan antara 17 Ogos 2019 hingga 19 Januari 2023.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Julaila Jamaludin mencadangkan jaminan RM13,000 bagi semua pertuduhan dengan tiga syarat tambahan.

Ia termasuk tertuduh atau wakilnya dilarang mengganggu saksi, lapor diri di pejabat SPRM Johor Bahru sebulan sekali dan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Peguam Shaik Saleem SM Daud yang mewakili tertuduh memohon jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan isteri anak guamnya tidak bekerja dan mempunyai tiga anak termasuk masih bersekolah.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin berserta tiga syarat tambahan seperti yang dicadangkan pihak pendakwaan.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula bagi serahan dokumen pada 21 April depan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Februari 2024 @ 1:06 PM