Tertuduh dibawa ke mahkamah oleh pegawai SPRM. FOTO Zulkarnain Ahmad Tajuddin
Tertuduh dibawa ke mahkamah oleh pegawai SPRM. FOTO Zulkarnain Ahmad Tajuddin
Izlaily Nurul Ain Hussein


Johor Bahru: Penolong Pegawai Tanah, Pejabat Tanah Daerah Johor Bahru mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan mendapatkan wang RM150,000 membabitkan beberapa permohonan permit pemindahan bahan batuan, tahun lalu.

Tertuduh, Ahmad Ehwan Ahmad, 56, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Mohd Fauzi Mohd Nasir.

Berdasarkan kertas pertuduhan, penjawat awam itu didakwa mendapatkan wang RM150,000 tanpa balasan, daripada ahli perniagaan, Toh Ang Poo, 50, membabitkan beberapa permohonan permit pemindahan bahan batuan (4C) menerusi akaun Affin Bank Berhad miliknya di bank berkenaan di Jalan Kebun Teh 1, Kebun Teh di sini, 5 September 2016.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Amir Nasruddin menawarkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin dan memohon dokumen perjalanan tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Bagaimanapun, peguam Azrul Zulkifli Stork yang mewakili tertuduh memohon jumlah ikat jamin yang ringan dengan alasan anak guamnya tidak mempunyai pendapatan sejak ditahan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin dan dokumen perjalanan tertuduh perlu diserahkan kepada mahkamah.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 14 Februari ini.

Tertuduh ditahan pada petang semalam, selepas kali pertama ditahan pada 28 November 2016.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 January 2017 @ 2:07 PM