MOHD Khairul Nizam menunjukkan beras tempatan dikeluarkan syarikatnya. FOTO Baharom Bakar
MOHD Khairul Nizam menunjukkan beras tempatan dikeluarkan syarikatnya. FOTO Baharom Bakar
Baharom Bakar

Kuala Terengganu: Permintaan beras tempatan dijangka meningkat melebihi 60 peratus berikutan kenaikan harga beras putih import berkuat kuasa, semalam.

Penasihat syarikat pengeluar beras tempatan, Mohd Khairul Nizam Mohd Rozali, berkata pihaknya mengeluarkan sebanyak 60 tan metrik beras tempatan sejak Julai lalu.

Bagaimanapun, katanya, syarikatnya dijangka meningkatkan pengeluaran sebanyak sebanyak 68 peratus bagi memenuhi permintaan pasaran tempatan berikutan kenaikan beras putih import.

"Pada masa ini, beras tempatan dijual pada harga RM12.90 bagi setiap lima kilogram dan RM25.60 bagi setiap pek 10 kilogram.

"Beras tempatan turut dihantar bagi memenuhi permintaan beberapa syarikat pengeluar beras di beberapa negeri," katanya ketika ditemui di premisnya di Kampung Cabang Tiga, hari ini.

Padiberas Nasional Berhad (Bernas) mengumumkan pelarasan harga jualan beras putih import daripada RM2,350 satu tan metrik kepada RM3,200 satu tan metrik sejajar dengan harga terkini beras putih import di pasaran antarabangsa, berkuat kuasa semalam.

Bernas melalui kenyataan memaklumkan, kenaikan harga beras putih import disebabkan ketidaktentuan pelbagai faktor luaran seperti perubahan iklim, kadar pertukaran mata wang asing yang semakin lemah, kos operasi yang tinggi dan konflik serantau.

Difahamkan, kawasan tanaman padi di seluruh negeri membabitkan keluasan sebanyak 5,323 hektar dan purata pengeluaran hasil adalah sebanyak lima tan metrik bagi setiap satu hektar.

Sementara itu, tinjauan dilakukan mendapati harga beras putih import dijual antara harga RM15.90 bagi setiap lima kilogram dan RM49.00 untuk 10 kilogram.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 September 2023 @ 1:57 PM