Foto hiasan.
Foto hiasan.
Mohd Rafi Mamat


TIGA sahabat dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini atas tuduhan menipu dan memperdaya seorang lelaki membabitkan tawaran pajakan tanah ladang kelapa sawit di Sungai Chebarang, Telang, Kuala Lipis tahun lalu.

Tertuduh, Rosli Awang, 57, Sharul Azizul Musa, 39 dan Muhammad Azman Zainal Hamzah, 31, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Mohd Ghazali Muhamad Taib.

Kesemua mereka didakwa dengan niat memperdayakan Yap Chin Beng supaya menyerahkan wang sebanyak RM66,300 sebagai deposit pajakan tanah ladang kelapa sawit terletak di Sungai Chebarang, Telang yang terletak dalam kawasan hutan simpan bagi urusan pihak kerajaan.

Berikutan tawaran daripada semua tertuduh menyebabkan Chin Beng menyerahkan wang RM66,300 milik Syarikat P&P Maju Resource kepada Ching Yew dan Yap Yee San supaya memasukkan wang itu ke dalam akaun Sharul Azizul dan Rosli.

Perbuatan itu didakwa dilakukan semua tertuduh di dua bank cawangan Kuala Lipis dan Raub pada 15 Februari hingga 19 Jun 2019.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan (Akta 574) dan dibaca mengikut Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman di bawah akta sama.

Jika sabit kesalahan semua tertuduh boleh dipenjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda.

Timbalan PendakwarayaSuruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Siti Sarah Zainal Abidin menawarkan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.

Sementara itu, peguam Zaharman Zainal Abidin yangmewakili semua tertuduh memohon supaya mahkamah mengurangkan ikat jamin memandangkan pendapatan semua anak guamnya terjejas susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Mahkamah membenarkan semua tertuduh diikat jamin RM3,000 setiap seorang dan menetapkan 2 Jun depan untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mei 2020 @ 5:19 PM