Meor Riduwan Meor Ahmad

Melaka: Seorang buruh didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini atas enam pertuduhan termasuk merogol anak kandung dan ugut bunuh isterinya, tahun lalu.

Tertuduh berusia 38 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azaraorni Abd Rahman.

Bapa dua anak itu berdepan dua pertuduhan mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan (KK) kerana merogol anak perempuannya berumur 15 tahun.

Tertuduh turut didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (AKSTK) 2017 kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa sama.

Lelaki itu turut didakwa mengikut Seksyen 324 KK dan dibacakan bersama Seksyen 326(a) akta sama kerana melibas isterinya berusia 36 tahun dengan sebilah parang sehingga menyebabkannya cedera di lengan kiri.

Tertuduh juga didakwa melakukan ugutan jenayah terhadap isteri dan dua anak kandungnya berusia 15 dan 17 tahun ketika kejadian dengan mengacukan sebilah parang.

Tertuduh (baju-T merah jambu, seluar pendek kotak2) didakwa atas enam pertuduhan. Foto Meor Riduwan Meor Ahmad
Tertuduh (baju-T merah jambu, seluar pendek kotak2) didakwa atas enam pertuduhan. Foto Meor Riduwan Meor Ahmad

Seterusnya dia didakwa melakukan ugutan jenayah terhadap anak perempuannya dan mengikat anak lelakinya dengan maksud hendak menakutkan akan membunuh anak dalam kandungan anak perempuannya itu.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 506 KK dan semua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Durian Tunggal, Alor Gajah pada penghujung Jun 2023 antara jam 2 hingga 3 petang dan pada 22 Oktober 2023, kira-kira 4 petang.

Timbalan Pendakwa Raya Rashidah Baharom tidak menawarkan jaminan kerana risiko berlaku kacau ganggu terhadap saksi pendakwaan iaitu isteri dan dua anak kandungnya.

Tertuduh bagaimanapun tidak membuat sebarang rayuan ketika ditanya hakim sebelum mahkamah menetapkan 18 Mac ini untuk sebutan semula kes dan lantikan peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Februari 2024 @ 3:41 PM