Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Peniaga warung didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini, atas 10 pertuduhan jenayah seksual termasuk melakukan persetubuhan luar tabii, memiliki bahan pornografi kanak-kanak dan amang seksual fizikal terhadap tiga kanak-kanak lelaki.

Tertuduh, Yusri Nadin, 57, yang mengalami masalah pendengaran bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik semua pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Azaraorni Abd Rahman.

Mengikut pertuduhan dia didakwa melakukan persetubuhan yang bertentangan aturan tabii terhadap kanak-kanak lelaki berusia 13 tahun lapan bulan (ketika kejadian), di ladang kelapa sawit, Jalan Padang Lebar 3, Simpang Bekoh, Jasin pada 7 Disember lalu, kira-kira 9 malam.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan dan turut berdepan sembilan pertuduhan di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 (AKSTK 2017).

Ia termasuk enam pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa sama serta dua kanak-kanak lain berusia 13 tahun mengikut Seksyen 14(a) AKSTK 2017 dan dua pertuduhan membuatkan dua daripada kanak-kanak itu melakukan amang seksual fizikal sesama mereka, mengikut Seksyen 14 (b) akta sama.

Dia turut didakwa memiliki pornografi kanak-kanak dalam tiga telefon bimbit miliknya mengikut Seksyen 10 akta sama.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di ladang kelapa sawit, ladang getah dan dalam pasar raya sekitar Simpang Bekoh, Jasin antara pertengahan Ogos sehingga 6 Februari lalu.

Timbalan Pendakwa Raya, Rashidah Baharom menawarkan jaminan RM90,000 bagi kesemua 10 pertuduhan dengan seorang penjamin, namun peguam Ishak Mohd Kari merayu jaminan rendah terhadap anak guamnya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM52,000 bagi semua pertuduhan berserta syarat tambahan tidak boleh mengganggu mangsa sehingga kes selesai.

Tertuduh juga perlu melapor diri di balai polis sekali setiap bulan serta menyerahkan pasport untuk disimpan selamat oleh mahkamah.

Kes akan disebut semula 28 Mac ini untuk serahan dokumen.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Februari 2024 @ 4:10 PM