BANJIR kilat di Taman Paya Rumput Indah. FOTO Nazri Abu Bakar
BANJIR kilat di Taman Paya Rumput Indah. FOTO Nazri Abu Bakar
Nazri Abu Bakar


HUJAN lebat 30 minit petang semalam menyebabkan penduduk di Jalan PRI 22 Taman Paya Rumput Indah, Melaka tidak senang duduk apabila kawasan kediaman mereka dilanda banjir kilat.

Penduduk, Muhammad Nur Asyraf, 23, berkata, hujan lebat dalam tempoh terbabit sudah cukup menyebabkan banjir memenuhi laman rumah dan menutup longkang kecil serta besar dengan arus kuat.

Katanya, situasi berkenaan amat membimbangkan berikutan jika lebih lama air boleh memasuki rumah selepas pergerakan arus laju bersama sampah.

BANJIR kilat yang berlaku di taman perumahan yang berada di atas bukit. FOTO Nazri Abu Bakar
BANJIR kilat yang berlaku di taman perumahan yang berada di atas bukit. FOTO Nazri Abu Bakar

“Laluan utama penduduk iaitu Lorong 22 ke Lorong 23 tidak boleh dilalui kerana air memenuhi longkang besar hampir melimpah ke laluan ke Masjid Kampung Paya Rumput.

“Penduduk hairan kerana taman ini berada di atas bukit dan tidak sepatutnya berlaku banjir kilat.

“Tetapi, sistem perparitan dilihat kurang sesuai apabila laluan air daripada sebahagian taman terarah melalui lorong terbabit untuk ke kolam takungan air sehingga menyebabkan longkang itu gagal menampung kapasiti air banyak apabila hujan lebat,” katanya.

Beliau berkata, alternatif laluan air perlu segera dilakukan berikutan jika berlaku musim tengkujuh kemungkinan banjir lebih teruk bakal berlaku.

HANYA 30 minit banjir kilat berlaku di Taman Paya Rumput Indah walaupun ianya berada di kawasan atas bukit. FOTO Nazri Abu Bakar
HANYA 30 minit banjir kilat berlaku di Taman Paya Rumput Indah walaupun ianya berada di kawasan atas bukit. FOTO Nazri Abu Bakar

Katanya, keadaan itu dipercayai berlaku selepas terdapat hampir 100 rumah baharu dibina di belakang Lorong 22 yang sebelumnya kawasan lapang.

Sementara itu, EXCO Pembangunan Daerah, Luar Bandar dan Pengurusan Banjir negeri Datuk Seri Idris Haron berkata, terdapat sampah sarap dalam longkang dan culvert yang tersumbat sehingga menghalang laluan air.

Beliau berkata, pihaknya mengarahkan semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) menggunakan struktur pengurusan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan ahli majlis untuk mengenal pasti potensi punca banjir.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mac 2020 @ 5:08 PM