AIR naik ke perkarangan rumah Hamzah. FOTO Hamzah Jahit
AIR naik ke perkarangan rumah Hamzah. FOTO Hamzah Jahit
Nurul Hidayah Bahaudin


Bangi: Hujan lebat selama beberapa jam menyebabkan rumah penduduk di Kampung Batu 5, di sini, dinaiki air berserta lumpur dalam kejadian banjir kilat, hari ini.

Seorang penduduk di kampung itu, Hamzah Jahit, 61, berkata, ketika kejadian, dia bersama isteri serta anaknya baru sahaja tiba di rumahnya dari Melaka, 5.30 petang tadi.

"Ketika berada di rumah, saya menyedari air serta lumpur mula naik di bahagian dapur kira-kira 6 petang. Malah, perkarangan rumah serta stor juga ditenggelami air.

"Di kawasan rumah jiran saya, banjir kilat lebih buruk apabila air naik hingga paras lutut sebelum surut kira-kira 7 malam tadi," katanya ketika dihubungi, hari ini.

BAHAGIAN rumah  Hamzah yang terjejas akibat banjir kilat.  FOTO Hamzah Jahit
BAHAGIAN rumah Hamzah yang terjejas akibat banjir kilat. FOTO Hamzah Jahit

Hamzah berkata, rumahnya sudah beberapa kali dimasuki air sejak tahun lalu selepas ada projek pembinaan perumahan baharu dijalankan di kawasan berhampiran bermula 2018.

"Sekarang ini, setiap kali hujan lebat kira-kira 30 minit sahaja, saya mulai bimbang rumah akan dinaiki air (banjir kilat).

"Saya sudah menetap di kawasan ini sejak 1980-an dan tidak pernah berlaku banjir kilat sebelum pembinaan projek berkenaan," katanya yang juga pesara kerajaan.

Katanya, penduduk kampung juga sudah berbincang dengan pihak pemaju dengan pelbagai langkah sudah diambil, namun banjir kilat masih berlaku.

"Saya harap masalah ini dapat diselesaikan oleh semua pihak yang terbabit bagi mengelakkan banjir kilat terus berlaku di kawasan ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Ogos 2022 @ 9:55 PM