Jumad menunjukkan parit yang dijadikan syarikat perumahan untul mengalirkan air sehingga menyebabkan banjir kilat di Kampung Sungai Kembung semalam. Foto Samadi Ahmad
Jumad menunjukkan parit yang dijadikan syarikat perumahan untul mengalirkan air sehingga menyebabkan banjir kilat di Kampung Sungai Kembung semalam. Foto Samadi Ahmad
Oleh Samadi Ahmad


Bangi: "Penduduk berhadapan nasib malang kerana wang ehsan sebelum ini masih belum diterima namun penduduk sekali lagi berhadapan banjir kilat," kata Ketua Kampung Sungai Kembung Hilir, Jumaad Omar, 50.

Jumaad berkata, banjir kilat yang berlaku semalam kali kedua pada tahun ini selepas Februari lalu termasuk paling buruk pada Disember lalu mengakibatkan 40 buah rumah penduduk terjejas.

Menurutnya, kejadian banjir kilat ini berlaku sejak tiga tahun kebelakangan ini dan antara punca adalah disebabkan aliran air dari projek perumahan Setia Ecohill di Semenyih yang mengalir ke laluan parit di kampung berkenaan.

Katanya, sepatutnya projek perumahan berkenaan mempunyainya takungan air sendiri dan tidak terus melepaskan air ke laluan parit kampung itu.

"Laluan air ini hanyalah parit kecil di kawasan kebun penduduk dan bukannya longkang besar dan ia tidak dapat menampung jumlah air yang banyak ketika hujan lebat," katanya ketika ditemui hari ini.

Beberapa rumah di kampung ini dilanda banjir kilat semalam selepas hujan lebat pada jam 5 petang dan air mula mengalir ke kediaman penduduk ketika waktu Maghrib.

Jumaad berkata, sebelum ini ban yang dibina juga sudah pecah akibat limpahan air dan pihaknya sudah memanjangkan kepada pihak bertanggungjawab untuk membina semula namun setakat ini masih tiada tindakan.

Menurutnya, beliau menyarankan pihak pemaju Setia Ecohill membina longkang konkrit besar di kawasan parit itu kerana sekiranya dibesarkan mungkin berdepan masalah untuk mengambil tanah hak milik penduduk.

Katanya, penduduk turut mencadangkan dua kolong air diatas jalan yang mengalirkan air dari parit berkenaan ke Sungai Beranang ditukar kepada yang lebih besar supaya air dapat dialirkan dengan lebih mudah.

"Sekiranya masalah ini tidak diatasi segera penduduk bakal berdepan masalah banjir kilat berpanjangan dan paling membimbangkan pada musim tengkujuh hujung tahun ini," katanya.

Menurut sumber,beberapa pihak bertanggungjawab seperti syarikat Setia Ecohill, pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) akan mengadakan pertemuan esok bagi membincangkan masalah berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Julai 2023 @ 3:37 PM