PERHILITAN Perak menggunakan bangkai lembu untuk mengumpan harimau belang hingga masuk perangkap. FOTO Ihsan Pembaca.
PERHILITAN Perak menggunakan bangkai lembu untuk mengumpan harimau belang hingga masuk perangkap. FOTO Ihsan Pembaca.
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Ipoh: Harimau belang jantan yang dilapor berkeliaran dan menyerang haiwan ternakan di Kampung Ulu Kuang, Chemor, di sini berjaya ditangkap, hari ini.

Penolong Pengarah Kanan, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, Nor Hani Abdul Samat berkata, haiwan liar itu memasuki perangkap yang dipasang pihaknya pada 11 pagi tadi.

Menurutnya, harimau itu dianggar berusia enam tahun dengan berat 156 kilogram.

"Kita guna pakai balik bangkai lembu yang dibahamnya sebagai umpan untuk menangkap harimau itu sampai ia memasuki perangkap," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, haiwan berkenaan akan dihantar Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) Sungkai untuk pemeriksaan dan tindakan lanjut.

Nor Hani juga tidak menolak kemungkinan harimau terbabit adalah haiwan sama yang dikesan muncul di kampung berkenaan pada awal tahun lalu.

Semalam, Perhilitan Perak mengesahkan menerima aduan berhubung serangan harimau belang di Kampung Ulu Kuang, Chemor.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Februari 2024 @ 5:24 PM