Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Siti Nor Hidayatidayu Razali dan Paya Linda Yahya


Sebab Pak Belang serang manusia

Kuala Lumpur: Harimau boleh dianggap sebagai haiwan pendendam dan akan menjadikan manusia sebagai 'sasaran utama' jika ada keluarganya dibunuh.

Pakar harimau yang juga Penolong Pegawai Hidupan Liar Kanan NWRC, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan), Nik Mohd Zamani Awang berkata, harimau belang 'berselera' dan 'ketagih' untuk memakan manusia atas beberapa faktor.

Berdasarkan pengalamannya, harimau belang akan mengidamkan daging manusia jika keluarganya sebelum ini pernah memakan manusia.

"Selain itu, harimau yang baru bercerai susu atau berpisah dari ibunya cenderung untuk menyerang manusia apatah lagi jika diasuh oleh ibu harimau.

"Namun faktor lebih utama isu serangan harimau terhadap manusia adalah berpunca ketiadaan sumber makanan di dalam hutan," katanya.

Nik Mohd Zamani berkata, harimau biasanya akan memburu makanan dengan menggunakan teknik serang hendap.

"Biasanya serangan hendap ditumpukan pada bahagian tengkuk mangsa. Oleh itu, sentiasa berwaspada ketika berada di dalam hutan terutama di lokasi dikenal pasti terdapat kehadiran haiwan pemangsa ini.

"Berdasarkan pengalaman, jika ada kehadiran harimau, haiwan-haiwan lain akan membuat bunyi bising terutamanya kera.

"Sebagai persediaannya, sebaiknya bawalah parang atau objek tajam. Jika terserempak harimau di dalam hutan, berjalanlah mengundur secara berhadapan sebelum lari," katanya.

Beliau bagaimanapun memberitahu, harimau biasanya akan terlebih dahulu melarikan diri apabila terserempak manusia.

"Siri serangan maut dan kecederaan oleh harimau Belang dan harimau Kumbang di negeri ini perlu dilihat dari pelbagai aspek," katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, Perhilitan sudah melakukan semua yang terbaik sejak beberapa tahun kebelakangan ini membabitkan usaha menyelesaikan konflik pelbagai haiwan liar dan manusia.

"Bukan hanya harimau belang, malah masalah dibawa gajah, harimau kumbang, babi hutan, monyet liar, buaya tembaga dan pelbagai haiwan lain menyebabkan Perhilitan perlu kerap turun ke lapangan.

"Banyak faktor memungkinkan kejadian ini antaranya kemerosotan haiwan mangsa seperti babi hutan, pelanduk dan kijang yang menjadi makanan haiwan ini.

"Malah, pencerobohan dan guna tanah tidak terkawal turut menyebabkan haiwan ini terkeluar dari habitat asal. Ramai tidak menyedari fakta, harimau mempunyai kawasan jajahan sendiri yang luas," katanya.

ALANG menunjukkan gambar harimau yang dipercayai menyerang bapa saudaranya.
ALANG menunjukkan gambar harimau yang dipercayai menyerang bapa saudaranya.

Trauma teringat serangan harimau

Kota Bharu: Trauma dan sentiasa dihantui ketakutan melampau. Itu dirasa penduduk kaum Batek di Aring 5, Gua Musang di sini, susulan kejadian harimau Belang menceroboh masuk ke kampung sebelum membaham salah seorang penduduknya.

Rata-rata penduduk bimbang sekiranya binatang buas itu muncul kembali dan menjadikan mereka mangsa seterusnya.

Kejadian yang meragut nyawa, Halim Asin, 27, pada 11 Mei lalu meninggalkan kesan mendalam dalam diri anak saudaranya, Alang Kuang, lapan tahun.

Alang yang melihat kejadian bapa saudaranya diserang harimau masih trauma dengan peristiwa itu dan dia juga tidak boleh tidur lena setiap malam.

Bapanya, Kuang Camang, 31, berkata, anaknya itu masih trauma kerana melihat sendiri bagaimana Pak Belang menerkam bapa saudaranya di bahagian kepala.

"Anak saya masih trauma hingga dia tidak dapat tidur nyenyak pada waktu malam. Mungkin dia masih terbayang kehadiran harimau di kampung kami.

"Sebagai bapa, saya hanya mampu menenangkan dia supaya dia tidak terus trauma kerana ini akan memberi kesan mendalam pada jiwanya sepanjang hayat.

"Harapan saya dan penduduk kampung supaya harimau itu pergi jauh dari kawasan kami. Kalau ada di sini, saya harap binatang itu ditangkap," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Menurutnya, jika haiwan liar itu tidak ditangkap, ada kemungkinan bakal ada mangsa lain terkorban selepas ini.

Katanya, penduduk juga masih takut untuk keluar rumah bagi mencari rezeki buat keluarga.

"Jika perkara itu berterusan, mereka mungkin akan terputus bekalan makanan.

"Besar harapan kami kepada pihak berkuasa supaya mengambil tindakan sewajarnya. Kami tidak mahu terus berada dalam ketakutan kerana haiwan ini sangat agresif," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Jun 2023 @ 12:00 PM