GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Melaka: Gara-gara tertarik dengan pelaburan saham memberi pulangan lumayan, seorang ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat mendakwa kerugian RM1 juta selepas melabur dalam syarikat menawarkan skim tukaran mata wang asing (forex) sejak 2018.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Superintendan E Sundra Rajan berkata, mangsa lelaki berusia 53 tahun membuat transaksi bayaran modal pelaburan sebanyak tujuh kali secara berperingkat dalam tempoh tiga tahun.

Bagaimanapun, beliau berkata, mangsa hanya menerima pulangan RM50,000 secara berperingkat sebelum suspek menghilangkan diri.

"Suspek berusia 44 tahun itu adalah pemilik syarikat mengajar orang ramai melabur saham sebelum mangsa tertarik menyertai pelaburan forex selepas berjumpa dengannya.

"Mangsa menyedari dirinya ditipu ekoran pulangan diterima tidak seperti modal dilaburkan sebelum membuat laporan di Balai Polis Malim pada 31 Disember lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

"Berdasarkan maklumat diterima, sepasukan polis dari Unit Risikan dan Operasi JSJK IPK Melaka menahan suspek di sebuah premis di Seremban, semalam dan merampas pelbagai dokumen berkaitan pelaburan," katanya dalam satu kenyataan di sini, malam ini.

Dalam perkembangan lain, Sundra Rajan berkata, seorang kerani kerugian RM92,450 gara-gara ingin mendapatkan pinjaman berjumlah RM30,000 menerusi laman sesawang yang memaparkan iklan pinjaman wang pada 30 Disember lalu.

Menurutnya, mangsa wanita berusia 30-an itu membuat 16 transaksi bayaran secara berperingkat ke lapan akaun berbeza dalam tempoh dua hari bermula 30 Disember.

"Mangsa menyedari ditipu setelah bayaran dikehendaki suspek dijelaskan, namun pinjaman wang dijanjikan tidak diterima.

"Mangsa membuat laporan di Balai Polis Malim kelmarin dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," katanya.

Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan membuat pinjaman melalui institusi kewangan berlesen dan menyemak nombor telefon atau nombor akaun meragukan di laman web http://ccid.rmp.gov.my/semakmule atau memuat turun aplikasi 'Check Scammer CCID' di Google Play Store.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 January 2021 @ 11:17 PM