Gambar hiasan
Gambar hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Jurujual wanita kerugian lebih RM382,000 selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan mata wang asing yang menawarkan keuntungan tiga peratus dalam masa tiga minit.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Mohd Mahidisham Ishak berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa berusia 36 tahun.

"Mangsa bekerja sebagai jurujual di syarikat komunikasi tempatan memaklumkan dia melayari satu laman sesawang pelaburan luar negara dan diberi penjelasan mengenai latar belakang syarikat itu.

"Syarikat didakwa mengusahakan tiga jenis produk iaitu pertanian hijau, industri kesihatan hijau dan industri tenaga kerja hijau," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Mahidisham berkata, pengadu juga dijelaskan mengenai pakej 'Gold Card' yang memerlukan modal berjumlah USD150,000 (RM643,050).

"Mangsa dijanjikan keuntungan pelaburan tiga peratus daripada jumlah pelaburan yang dibuat dalam tempoh tiga minit sahaja.

"Tertarik dengan keuntungan itu, mangsa kemudian melabur memberikan 'username' dan kata laluan untuk mengakses rangkaian pelaburan berkenaan," katanya.

Menurutnya, pengadu membuat 27 kali transaksi berjumlah RM382,517 ke dalam enam akaun berasingan sejak 29 Mac hingga 18 April lalu.

Bagaimanapun, katanya, dia berasa tertipu apabila tidak dapat mengeluarkan wang keuntungan dijanjikan dan masih diminta membuat transaksi pelaburan tambahan.

"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana melakukan penipuan," katanya yang turut menasihati orang ramai supaya berwaspada dan boleh menghubung Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21460584/0585 dan CCID Scam Response Center di talian 03-26101559/1599 sekiranya curiga dengan sebarang transaksi.

Orang ramai juga boleh menghubungi WhatsApp CCID Infoline di talian 013-2111222, layari laman sesawang semakmule.rmp.gov.my atau mana-mana balai polis berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 April 2022 @ 5:04 PM