Harga ayam segar yang dijual di sekitar bandar raya ini naik 30 sen kepada RM9.80 sekilogram, mulai hari ini ketika tinjauan mendapati kenaikan harga ayam segar itu menyebabkan jualan ayam segar tidak serancak sebelum ini di sebuah pasar di Tampoi, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Harga ayam segar yang dijual di sekitar bandar raya ini naik 30 sen kepada RM9.80 sekilogram, mulai hari ini ketika tinjauan mendapati kenaikan harga ayam segar itu menyebabkan jualan ayam segar tidak serancak sebelum ini di sebuah pasar di Tampoi, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Oleh Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Harga ayam segar dijual di sekitar bandar raya ini naik 30 sen kepada RM9.80 sekilogram, mulai hari ini.

Tinjauan di pasar basah sekitar Perling, Tampoi dan Skudai mendapati, kenaikan harga ayam segar itu menyebabkan jualan ayam segar tidak serancak sebelum ini.

Malah pelanggan dilihat lebih banyak membeli bahagian ayam berbanding seekor atau dua bahan mentah itu berbanding sebelum ini.

Peniaga ayam segar, Daud Ismail, 40, berkata, kenaikan harga ayam segar itu adalah kenaikan kali ketiga dalam tempoh dua minggu.

Katanya, kenaikan harga ayam mentah yang semakin kerap itu memberi tekanan kepada peniaga yang semakin terhimpit.

"Sebelum ini, harga ayam segar hanya RM7.90 sekilogram, namun selepas tiga kali kenaikan, peniaga terpaksa menjual dengan harga RM9.80 sekilogram mulai hari ini.

"Ia tidak dapat dielakkan berikutan harga ayam datang daripada pembekal RM8.70 hingga RM9.10 sekilogram hari ini, jadi kami hanya dapat untung RM1.10 sahaja atau kurang RM1 setiap kilogram dengan tanggungan sewa lot niaga, gaji pekerja dan bil utiliti.

"Pembekal tadi pun sudah beri bayangan harga ayam segar akan naik lagi sehari dua menjelang Tahun Baru Cina.

"Pembekal beri alasan terpaksa naikkan harga ayam segar berikutan bekalan terhad selain permintaan tinggi kerana Tahun Baru Cina," katanya ditemui.

Seorang lagi peniaga ayam segar yang mahu dikenali sebagai Azman, 45, mendakwa, alasan bekalan ayam segar terhad menjelang musim perayaan sering digunakan pembekal sebagai alasan menaikkan harga bahan mentah itu.

Katanya, setiap kali menjelang musim perayaan, alasan itulah akan diguna pakai pembekal, namun yang menjadi mangsa kemarahan pembeli dan pelanggan adalah peniaga yang dituduh mengambil kesempatan.

"Kononnya bekalan ayam pembekal dakwa tak banyak sampai yang dihantar pun kecil-kecil sekarang, tapi tengoklah nanti dua tiga hari nak Tahun Baru Cina, bekalan ayam yang sampai banyak dan tiba-tiba saiznya besar-besar pula," katanya.

Pengguna, Sufian Mohd Noor, 52, berkata, dia tiada pilihan dengan hanya membeli bahagian ayam tertentu berbanding membeli seekor atau dua ekor setiap lima hari.

"Harga ayam kebelakangan ini sering naik. Jika dulu, selepas penghapusan apungan harga, ia masih murah iaitu antara RM6.90 hingga RM7.90 sekilogram.

"Pengguna berkeluarga besar seperti saya terbeban jika hendak beli dua ekor ayam seperti dulu, jadi saya hanya beli bahagian-bahagian ayam sahaja supaya dapat berjimat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Februari 2024 @ 1:55 PM