PENIAGA ayam di Pasar Kajang, Alif Musa.
PENIAGA ayam di Pasar Kajang, Alif Musa.
Ekhwan Haque Fazlul Haque
ekhwan@hmetro.com.my


Kajang: Akur dengan skim kawalan harga ditetapkan namun peniaga masih berharap kerajaan tidak hanya memfokuskan masalah kenaikan harga kepada mereka.

Peniaga ayam, Alif Musa berkata, peniaga kini terpaksa bergelut untuk meneruskan kelangsungan perniagaan disaat margin keuntungan yang terlalu rendah.

Menurutnya, harga ayam kini masih tinggi daripada pembekal dan penternak namun peniaga terpaksa akur dengan harga ditetapkan pada RM7.90 sekilogram.

"Peniaga ada kalanya mendapatkan keuntungan 40 sen untuk sekilogram ayam sedangkan sebelum ini boleh mencecah RM1.

"Apabila harga meningkat, banyak pihak 'menuding jari' kepada kami sedangkan kami juga perlu menjual dengan harga yang mampu memberi sedikit keuntungan.

"Dengan untung 40 sen sekilogram bagaimana peniaga mahu menampung kos operasi, bahan mentah dan gaji pekerja.

"Ada pihak yang dipercayai sengaja menaikkan harga ayam dengan mendadak bagi menampung kelembapan permintaan sepanjang Ramadan ini selain persediaan pengenalan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa," katanya ketika ditemui, hari ini.

Sebelum ini, harga ayam proses dijual RM9.70 sekilogram namun kini menerusi SHMMP Hari Raya Puasa 2021 bahan mentah itu dijual pada RM7.90 sekilogram.

Di bawah skim kawalan ini, sebanyak 12 barangan disenaraikan termasuk ayam, telur ayam, daging serta hasil laut seperti ikan tongkol, selayang, kembung dan mabung.

Ia dilaksanakan sebagai langkah menyekat kenaikan harga keperluan ketika Ramadan dan menjelang Aidilfitri.

Dalam pada itu, pesara kerajaan Mazwar Mahmud berkata, SHMMP Hari Raya Puasa 2021 ternyata melegakan pengguna.

Katanya, harga bahan mentah kini semakin turun dan ia membantu pengguna untuk berjimat selain mengawal harga dari terus melambung.

"Ayam proses sebelum ini hampir RM10 sekilogram namun kini turun sehingga RM7.90 sekilogram dan ia sudah tentu beri kelegaan pada pengguna.

"Diharapkan harga bahan mentah lain juga akan terus stabil bukan saja menjelang Aidilfitri malah sepanjang tahun," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 April 2021 @ 1:09 PM