PENIAGA di Pasar Harian Selayang hanya menyediakan ayam yang ditempah pelanggan. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
PENIAGA di Pasar Harian Selayang hanya menyediakan ayam yang ditempah pelanggan. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Serdang: Bekalan ayam di beberapa kawasan di sekitar Selangor terhad dan habis dijual dalam masa yang singkat.

Tinjauan di beberapa pasar utama mendapati ayam segar dijual dengan harga RM9.80 hingga RM12 sekilogram dan habis dijual tidak sampai tiga jam.

Di Pasar Borong Selangor, peniaga ayam yang enggan nama disiarkan berkata, sebelum ini dia membuka gerainya seawal jam 7 pagi namun pada hari ini, gerai dibuka pada jam 9 pagi berikutan bekalan ayam lambat tiba.

"Malah bekalan hanya dihantar separuh daripada pesanan sebagai contoh kita minta 3,000 ekor ayam namun hanya mendapat bekalan sebanyak 1,500 ekor.

"Kami juga perlu membayar wang tempahan awal untuk menempah bekalan ayam, tidak seperti kebiasaan bekalan dulu sampai baru bayar," katanya ketika ditemui.

Di Pasar Harian Selayang pula, bekalan ayam turut dicatu oleh pembekal apabila peniaga hanya menerima separuh dari jumlah tempahan yang dibuat.

Peniaga ayam yang enggan dikenali berkata, bekalan yang diterima hanya 1,000 hingga 2,000 ekor saja bagi hari ini berbanding tempahan yang dibuat.

"Jumlah tempahan lebih tinggi dari jumlah yang diterima, itu pun kami hanya menjual kepada pelanggan yang sudah menempah awal daripada kami.

"Bagi pelanggan yang tidak membuat tempahan, kami terpaksa jual ayam pencen. Ayam segar dijual dengan harga RM9.70 hingga RM9.80 sekilogram," katanya.

Keadaan sama juga berlaku di Pasar Raja Alang apabila peniaga hanya menjual ayam pencen dan ayam kampung berikutan bekalan ayam segar terhad.

Peniaga ayam, Mohamad Tamimi Md Sukor berkata, ayam segar yang ditempahnya habis dijual pada jam 8.30 pagi.

"Ia perkara luar biasa, tak pernah ayam segar habis awal namun disebabkan bekalan amat terhad, ayam habis dengan cepat. Apa yang tinggal kini hanya ayam pencen dan ayam kampung saja," katanya.

Sementara itu, bekalan ayam kritikal di Pasar Datuk Keramat apabila semua jenis ayam habis dijual.

Tinjauan mendapati, bekalan ayam segar hanya dijual peniaga tertentu saja manakala ayam pencen dan ayam kampung juga turut habis dijual berikut tiada bekalan ayam segar.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Mei 2022 @ 12:34 PM