FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Hamzah Osman


Langkawi: Sembilan kawasan di pulau peranginan ini mengalami gangguan bekalan air akibat fenomena El Nino atau kemarau berpanjangan.

Kawasan terbabit adalah Pekan Kuah, Kisap, Kilim, Perana, Bayas, Ulu Melaka, Temoyong, Pantai Cenang, Pantai Tengah dan kawasan sekitar.

Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (SADA dalam kenyataan berkata, akibat fenomena itu, paras air Sungai Melaka di Pulau Langkawi semakin menyusut, sekali gus menyukarkan SADA memenuhi permintaan air terawat.

"Permintaan bekalan air terawat semakin meningkat, khususnya menjelang cuti Tahun Baharu Cina dan persekolahan tidak lama lagi.

"Pengeluaran di semua Loji Rawatan Air (LRA) di Pulau Langkawi juga menunjukkan trend penurunan dan dijangka berlarutan sehingga paras Sungai Melaka kembali normal," katanya.

Katanya, keadaan lebih terkesan apabila berlaku pertambahan lokasi kebocoran paip dasar laut yang menyalurkan bekalan air terawat ke Pulau Langkawi dari LRA Sungai Baru, Perlis.

"SADA menasihatkan pengguna di Pulau Langkawi supaya lebih berhemah ketika menggunakan air sepanjang musim kemarau ini," katanya.

Katanya sebarang aduan atau pertanyaan, pengguna boleh menghubungi talian hotline di 1300 88 0017 dan Bilik Gerakan Langkawi di 04-9610546.

Maklumat berkenaan gangguan bekalan air ini turut dimaklumkan dari semasa ke semasa menerusi platform digital rasmi Facebook dan TikTok SADA serta laman sesawang rasmi SADA di www.sada.com.my.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 January 2024 @ 4:37 PM