KEADAAN di Terengganu
KEADAAN di Terengganu
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Banjir gelombang keempat yang bermula Selasa lalu menyaksikan 14 pusat pemindahan sementara (PPS) masih dibuka di Terengganu.

Setakat 8 pagi, Dungun menjadi satu-satunya daerah masih terjejas dengan 1,378 mangsa daripada 400 keluarga berlindung di PPS.

Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu, sebahagian PPS yang masih dibuka adalah Dewan Serbaguna Kampung Shukor yang menempatkan seramai 226 mangsa, Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja (258 mangsa), Masjid Jamek Kampung Jongok Batu (258 mangsa) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Jengai (170 mangsa).

Sementara itu, laman web rasmi Public InfoBanjir Jabatan Pengairan dan Saliran merekodkan satu sungai melepasi paras bahaya, dua pada paras amaran dan empat pada paras waspada pagi ini.

Sungai yang melepasi paras bahaya adalah Empangan Puah, Hulu Terengganu yang mencatatkan bacaan 301.04 meter (m) berbanding paras normal 287 m.

Dua sungai yang melepasi paras amaran adalah Sungai Dungun di Jambatan Jerangau (12.34 m) dan Sungai Dungun di Jambatan Jerangau (RHN) (12.30 m).

Selain itu, empat sungai yang direkodkan melepasi paras waspada adalah dua di Hulu Terengganu, satu di Setiu dan satu di Kuala Nerus.

Di Hulu Terengganu, ia membabitkan Sungai Terengganu di Kampung Dura (12.41 m) dan Sungai Tersat di Kampung Sekayu (19.16 m).

Turut merekodkan bacaan melepasi paras waspada adalah Sungai Nerus di Kampung Bukit, Setiu (11.38 m) dan Sungai Nerus di Kampung Jeram, Kuala Nerus (2.15 m).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 January 2024 @ 9:02 AM