KEADAAN motosikal mangsa yang ditemukan dalam parit. FOTO Ihsan Bomba
KEADAAN motosikal mangsa yang ditemukan dalam parit. FOTO Ihsan Bomba
Zuliaty Zulkiffli


Sungai Petani: Serpihan tulang manusia dan motosikal yang ditemui di selekoh Jalan Sungai Lalang-Bukit Selambau, petang semalam dipercayai milik seorang buruh yang dilaporkan hilang sejak 10 hari lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, Pejabat Pertanyaan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala menerima maklumat berhubung penemuan mayat bersama sebuah motosikal Honda RS150 dalam saluran air di selekoh Jalan Sungai Lalang-Bukit Selambau pada 7.30 malam.

Beliau berkata, arah perjalanan mangsa adalah dari arah Sungai Lalang menghala ke Bukit Selambau.

"Berdasarkan lawatan di tempat kejadian, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku apabila penunggang motosikal terbabit melalui selekoh dan hilang kawalan sebelum terbabas ke dalam saliran air sebelah kanan jalan.

"Kedalaman saliran air itu adalah hampir tiga meter menyebabkan mangsa sukar dilihat serta sukar mendapat bantuan sewaktu kejadian," katanya dalam kenyataan hari ini.

Zaidy berkata, terdapat garisan pada bahu jalan sebelah kanan dipercayai terhasil dari penunggang motosikal terbabit

.

Beliau berkata, hasil soal siasat bersama waris mendapati kali terakhir mangsa yang berusia 53 tahun itu dilihat pada 9 Januari lalu dan mengesahkan motosikal yang ditemui adalah milik mangsa.

"Mayat kemudian dibawa ke Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk bedah siasat bagi mendapatkan punca kematian.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, arus deras menyukarkan bomba untuk menguruskan mayat mangsa berusia 50-an yang ditemukan dalam parit bersama motosikal di ladang kelapa sawit di kawasan Patani Para, di sini, malam tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 January 2024 @ 12:41 PM