ORANG ramai berkumpul melihat kemalangan maut di Jalan Sungai Lalang-Bukit Selambau.FOTO Ihsan pembaca
ORANG ramai berkumpul melihat kemalangan maut di Jalan Sungai Lalang-Bukit Selambau.FOTO Ihsan pembaca
Izad Thaqif Hassan

Sungai Petani: Angkara tidak memakai topi keledar, dua penunggang motosikal maut dalam keadaan ngeri selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya di Jalan Sungai Lalang-Bukit Selambau, dekat sini, malam tadi.

Dalam kemalangan pada 10.40 malam, dua penunggang masing-masing berusia 28 tahun meninggal dunia di lokasi selepas Yamaha Ego dan Honda EX5 bertembung di laluan berselekoh.

Manakala, pembonceng skuter Yamaha Ego berusia 37 tahun luka kaki kanan.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, siasatan mendapati skuter dinaiki dua lelaki dalam perjalanan dari Sungai Lalang menuju ke Ambangan Height.

Menurutnya, skuter terbabit dipercayai ditunggang dengan laju sebelum hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan.

"Skuter yang terbabas itu bertembung Honda EX5 ditunggang seorang lelaki menyebabkan kedua-dua penunggang parah di kepala manakala pembonceng pula hanya cedera kaki kanan.

"Dua penunggang motosikal dan skuter terbabit disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah," katanya.

Menurutnya, siasatan lanjut mendapati semua mangsa yang berasal dari Bedong, di sini, didapati tidak memakai topi keledar serta penunggang skuter didapati tidak mempunyai lesen memandu.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk bedah siasat dan siasatan dibuat mengikut Seskyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Oktober 2021 @ 12:54 PM