Walaupun terbalik, pemandu lori kontena ini hanya cedera ringan. (Gambar kecil) Mohd Syazwan ditenangkan anggota bomba dan penyelamat. FOTO Omar Osman
Walaupun terbalik, pemandu lori kontena ini hanya cedera ringan. (Gambar kecil) Mohd Syazwan ditenangkan anggota bomba dan penyelamat. FOTO Omar Osman
Omar Osman


PEMANDU lori kontena terselamat selepas kenderaan dipandunya itu hilang kawalan sebelum terbabas dan terbalik di Jalan Sungai Lalang-Bukit Selambau berhampiran Ladang Bukit Lembu, Sungai Petani, hari ini.

Dalam kejadian jam 3 petang itu, mangsa Mohd Syazwan Shuib, 30, dalam perjalanan dari Butterworth, Pulau Pinang untuk menghantar muatan di sebuah kilang kayu di kawasan Industri Bukit Selambau.

Mohd Syazwan berkata, dia bergerak dari Butterworth, Pulau Pinang jam 2 petang namun sebaik tiba di lokasi kejadian yang berselekoh dia memperlahankan lori itu.

Menurutnya, bagaimanapun ketika ingin membelok, dia menyedari bahagian belakang bergoyang sebelum hilang kawalan dan terbabas sebelum terbalik dengan semua tayar ke atas.

"Lori kontena itu kemudian menggelungsur ke dalam parit di kiri jalan dan bahagian kepala lori itu turut remuk teruk.

"Ketika itu saya hanya mampu berdoa dan bertawakal supaya selamat malah tersepit di tempat duduk sebelum dibantu seorang lelaki yang datang membuka pintu serta menarik keluar," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.

Katanya, dia bersyukur terselamat dalam kejadian itu dan hanya mengalami cedera ringan.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba Sungai Petani, Penguasa Bomba Kanan 11, Muhamad Aslan Yusuf, berkata,

pihaknya menerima panggilan kecemasan 3.20 petang dan bergegas ke tempat kejadian bersama sembilan anggota dengan sebuah jentera serta ambulans Unit Anggota Penyelamat dan Paramedik (EMRS).

Katanya, sebaik tiba di lokasi mendapati lori kontena terbalik dengan kesemua tayarnya ke atas dengan bahagian pemandu remuk teruk.

"Mangsa hanya mengalami kecederaan ringan selepas diselamatkan orang awam dan kes diserahkan kepada pihak polis," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 November 2017 @ 7:35 PM