ANTARA kenderaan mewah yang disita SPRM.
ANTARA kenderaan mewah yang disita SPRM.
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Beberapa kontraktor sudah dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan berhubung kes meminta serta menerima suapan daripada beberapa syarikat yang mendapat tender di kementerian.

Ia susulan penahanan bekas setiausaha politik bekas menteri dan ahli perniagaan bergelar Datuk Seri oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di mana mereka disambung reman tiga hari lagi bermula hari ini.

Menurut sumber, beberapa kontraktor terbabit sudah hadir memberi keterangan dan mereka memberi kerjasama baik kepada SPRM bagi membantu siasatan.

"Akan ada lagi kontraktor lain yang akan tampil memberi keterangan selepas ini.

"Setakat ini jumlah sitaan masih kekal sembilan kenderaan mewah iaitu Rolls Royce Ghost V12 EWB, Mercedes-Benz G63 AMG Brabus, Range Rover Autobiography, Porsche Cayenne, Toyota Land Cruiser, Mini Cooper Works RHD, Toyota Alphard, Toyota Vellfire dan Mercedes-Benz S400L," katanya kepada Harian Metro hari ini.

Sumber berkata, kesemua kenderaan mewah kini disimpan di Gudang Sita SPRM di Selangor.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman ketika dihubungi mengesahkan kontraktor terbabit sudah dipanggil namun enggan mengulas lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

Harian Metro semalam melaporkan SPRM menyita beberapa kenderaan mewah milik bekas setiausaha politik bekas menteri dan ahli perniagaan bergelar Datuk Seri.

Sitaan bagi bantu siasatan berhubung kes meminta serta menerima suapan daripada beberapa syarikat yang mendapat tender di sebuah kementerian.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 January 2024 @ 1:15 PM