Muhaamad Hafis Nawawi


BEKAS Setiausaha Pejabat Timbalan Ketua Setiausaha sebuah kementerian akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur esok.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, wanita berusia 39 tahun itu didakwa atas kesalahan meminta suapan.

Katanya, dia didakwa meminta suapan daripada ejen hartanah sebagai ganjaran untuk mendapatkan tender penjualan hartanah milik kerajaan di luar negara pada November dan Disember 2018.

“Suspek akan didakwa dengan beberapa pertuduhan di bawah Akta SPRM 2009 dan Seksyen Kanun Keseksaan.

“Suspek sebelum ini pernah ditahan SPRM pada Februari lalu bagi membantu siasatan berhubung kes meminta dan menerima suapan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Media Februari lalu melaporkan wanita itu ditahan SPRM pada 6.50 petang di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya selepas hadir memberi keterangan 14 Februari lalu.

Dia disyaki meminta dan menerima suapan bernilai RM1.5 juta daripada sebuah syarikat hartanah kononnya sebagai dorongan untuk mendapatkan persetujuan daripada Timbalan Ketua Setiausaha bagi meluluskan pembelian aset kerajaan di luar negara.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 September 2019 @ 6:57 PM