MOHD Ruzainis (kanan) ketika hadir di Mahkamah Majistret Kuala Pilah. FOTO Azrul Edham
MOHD Ruzainis (kanan) ketika hadir di Mahkamah Majistret Kuala Pilah. FOTO Azrul Edham
Abnor Hamizam Abd Manap


Kuala Pilah: Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan melempar helaian dan cebisan al-Quran di tepi jalan, minggu lalu.

Tertuduh Mohd Ruzainis Md Sin, 37, sebelum itu membuat pengakuan bersalah bagaimanapun menukar pengakuan kepada tidak bersalah selepas mempersoalkan ketiadaan pegawai penyiasat kes itu di mahkamah dan memberitahu tidak faham pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Saiful Sayoti.

Mengikut pertuduhan, tertuduh melemparkan helaian dan cebisan al-Quran dengan mengetahui mana-mana orang mungkin menyifatkan itu sebagai mencemarkan dan suatu keaiban kepada agama.

Perbuatan itu dilakukan pada jam lebih kurang 11.30 pagi, 20 Januari lalu di tepi Jalan Pasar Khairat Kematian, Felda Palong 6, Jempol.

Berikutan itu tertuduh didapati melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut seksyen dan akta yang sama.

Pendakwaan kes yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Peh Fong Xi, menawarkan jaminan RM10,000, bagaimanapun mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin warga tempatan selain menetapkan 26 Februari ini bagi sebutan semula kes.

Media sebelum ini melaporkan penangkapan seorang lelaki berikutan tiga laporan polis diterima berhubung kejadian terbabit.

Ketika disoal siasat, dia mengaku terbabit dalam kejadian itu.

Ujian saringan air kencing mendapati dia positif dadah methamphetamine dan turut mempunyai dua rekod lampau berkaitan dadah dan satu jenayah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 January 2024 @ 12:13 PM