MOHAMMAD Arif  (kiri) dan Kajenthiran Supramaniam, (tengah) dihukum penjara dan sebatan
MOHAMMAD Arif (kiri) dan Kajenthiran Supramaniam, (tengah) dihukum penjara dan sebatan
Mohamad Fahd Rahmat

Kluang: Dua rakan masing-masing dihukum penjara lima tahun dengan dua sebatan dan penjara lapan tahun dengan tiga sebatan atas kesalahan merompak berkumpulan terhadap seorang pekerja hotel di Simpang Renggam Julai lalu.

Hakim Mahkamah Sesyen, Mujib Saroji, menjatuhkan hukuman itu masing-masing terhadap Muhammad Arif Mohammed Kasim, 26, dan Kajenthiran Supramaniam, 37, selepas kedua-dua tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan dibacakan kepada mereka.

Sementara itu, tertuduh Muhammad Arif turut dikenakan hukuman penjara lima tahun dengan satu sebatan oleh hakim selepas mengaku bersalah atas pertuduhan kedua iaitu merompak sebuah hotel di bandar Kluang bersama seorang lagi yang masih bebas.

Mahkamah bagaimanapun memerintahkan kedua-dua tertuduh menjalani hukuman itu secara serentak bermula dari tarikh mereka ditangkap 25 Julai lalu.

Mengikut pertuduhan pertama, kedua-dua tertuduh bersama mengambil telefon bimbit jenama Oppo berwarna hitam dan wang tunai kira-kira RM200 dengan bersenjatakan sebilah parang dan spanar di kaunter hotel Z Stay In Simpang Renggam kira-kira pukul 7.40 pagi pada 25 Julai 2023.

Bagi pertuduhan kedua, Muhammad Arif bersama seorang lagi suspek yang masih bebas didakwa melakukan kesalahan sama terhadap Nur Safika Norddin, 30, dengan merompak telefon bimbit jenama Vivo dan wang tunai kira-kira RM350 di Hotel Ria, Jalan Sultanah kira-kira pukul 12.55 malam pada 5 Julai 2023.

Bagi kedua-dua kesalahan itu mereka didakwa mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebat.

Terdahulu, kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah memberikan hukuman ringan dengan alasan mereka adalah penanggung utama keluarga.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Ramizah Razli memohon kedua-dua tertuduh dikenakan hukuman setimpal berikutan kesalahan merompak menggunakan senjata.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Ogos 2023 @ 3:32 PM