GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Padah merompak dan menyamar polis, dua penganggur masing-masing dijatuhi hukuman penjara empat tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini.

Hakim Datuk Nu'aman Mahmud Zuhudi menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhamad Al Shafik Irwanshah, 26, dan Ahmad Ruhaifi Sufri Saupi, 30, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan dengan menggunakan pisau terhadap lelaki warga Myanmar, Kaung Khant Zaw dan mengambil telefon bimbit milik lelaki itu yang menyebabkan kerugian RM1,800.

Mahkamah memerintahkan kedua-dua tertuduh masing-masing menjalani hukuman penjara daripada tarikh tangkap mereka pada 5 Ogos lalu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Flat Mutiara Fadason, Taman Fadason, Kepong, di sini, pada 5.40 petang, 18 Julai lalu mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat.

Mengikut fakta kes, ketika kejadian, mangsa yang sedang menunggu lif di tingkat 18 didatangi dua tertuduh yang memperkenalkan diri mereka sebagai polis.

Dua lelaki itu kemudian mengarahkan mangsa masuk ke dalam sebuah rumah dan meminta pasport milik pengadu untuk semakan disyaki tamat tempoh sebelum mengacukan pisau ke arahnya dan mengambil telefon bimbit milik mangsa.

Kedua-dua tertuduh ditahan pada 5 Ogos lalu selepas menerima laporan polis daripada mangsa.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Muhairi Mohamed Noh memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal berbentuk pengajaran terhadap kedua-dua tertuduh dan masyarakat awam.

Dalam rayuan mereka, Muhamad Al Shafik meminta hukuman ringan atas alasan anak masih kecil dan isteri berada di hospital manakala Ahmad Ruhaifi juga meminta hukuman dikurangkan kerana isteri kini menjalani rawatan psikiatri.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Ogos 2023 @ 2:34 PM