DUA penganggur dihadapkan ke Mahkamah Seksyen Johor Bahru, hari ini atas pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan menggunakan pisau ke atas empat mangsa antara Oktober lalu sehingga awal bulan ini. FOTO Mohd Azren Jamaludin.
DUA penganggur dihadapkan ke Mahkamah Seksyen Johor Bahru, hari ini atas pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan menggunakan pisau ke atas empat mangsa antara Oktober lalu sehingga awal bulan ini. FOTO Mohd Azren Jamaludin.
Izlaily Nurul Ain Hussein


DUA penganggur dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini atas empat pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan menggunakan pisau ke atas empat orang mangsa antara bulan lalu hingga awal bulan ini.

Tertuduh, I Thiveneswaran, 27, dan B Magendra Selvam, 18, didakwa di dua mahkamah berasingan dan mengaku tidak bersalah bagi semua pertuduhan dihadapi mereka.

Di hadapan Hakim Wan Mohd Norisham Wan Yaakob, kedua-dua lelaki itu mengaku tidak bersalah bagi dua pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan ke atas dua orang mangsa iaitu seorang lelaki berusia 46 tahun dan seorang wanita berusia 45 tahun.

Dalam kejadian itu, tertuduh didakwa merompak tiga telefon bimbit, wang tunai, kad pengenalan, kunci kereta dan kunci rumah itu, mereka turut menggunakan senjata boleh membawa maut iaitu pisau.

Kedua-dua kejadian itu dilakukan di kawasan Jalan Tenang 4 dan Jalan Tenang, Taman Damai Jaya, Skudai, Johor Bahru pada 5.10 pagi, 26 Oktober lalu dan 6.30 pagi, 7 November lalu.

Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh dan menetapkan 17 Disember ini untuk sebutan semula kes.

Manakala, di hadapan Hakim Aizatul Akmal Maharani, mereka mengaku tidak bersalah bagi dua pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan terhadap dua lelaki berusia 28 dan 53 tahun.

Mereka didakwa merompak tiga telefon bimbit dan wang tunai milik kedua-dua mangsa dengan menggunakan pisau di kawasan Jalan Pendekar 21, Taman Ungku Tun Aminah dan Jalan Tenang 3, Taman Damai Jaya, Skudai antara 3.15 pagi hingga jam 5.15 pagi, 30 Oktober lalu.

Bagaimanapun, bagi satu daripada pertuduhan itu, mahkamah melepas tanpa membebaskan tertuduh atas kesilapan teknikal dan akan memanggil semula tertuduh untuk didakwa semula.

Oleh itu, mahkamah membenarkan mereka diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh dan kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 18 Disember ini.

Sementara itu, di dua lagi Mahkamah Sesyen di Johor Bahru, Magendra Selvam menghadapi dua lagi pertuduhan bersama seorang suspek yang masih bebas, atas perbuatan sama dilakukan terhadap dua mangsa lelaki berusia 41 dan 26 tahun.

Tertuduh didakwa merompak dua telefon bimbit, wang tunai, lesen memandu dan kad bank milik mangsa dengan menggunakan pisau.

Perbuatan itu dilakukan di kawasan Jalan Tenang 5, Taman Damai Jaya dan Jalan Hang Jebat 5, Taman Skudai Baru, Skudai antara 1.40 pagi hingga 6.15 pagi, 7 November lalu.

Hakim Kamarudin Kamsun dan Hakim Faiz Dziyauddin membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 bagi setiap pertuduhan dan menetapkan kes disebut semula pada 4 Disember dan 16 Disember ini.

Bagi semua perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Nur Sulehan Abd Rahman, Farah Aqilah Ahmad Fuad, Noridayu Md Kassim dan Muhamad Sabiq Mohd Subri, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 November 2019 @ 4:34 PM