Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh bersama Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali meninjau harga barangan selepas melancarkan Program Jualan Ihsan Rahmah (PJIR) sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM 2024) di Masjid Tanah,  hari ini. FOTO AMIR MAMAT
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh bersama Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali meninjau harga barangan selepas melancarkan Program Jualan Ihsan Rahmah (PJIR) sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM 2024) di Masjid Tanah, hari ini. FOTO AMIR MAMAT
Oleh Amir Mamat


Masjid Tanah: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan mempertingkatkan pemantauan terhadap harga makanan susulan penguatkuasaan pelarasan tarif baharu air bermula 1 Februari ini.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, langkah itu sebagai mengekang tindakan peniaga yang mungkin akan mengambil kesempatan dengan kenaikan tarif air berkenaan.

Katanya, beliau mengakui pelarasan berkenaan hanya merangkumi tarif air dan bukan secara langsung terhadap barangan jualan perniagaan.

"Kita akan melihat (memantau) kerana keputusan untuk menaikkan tarif air adalah keputusan bersama (kerajaan) yang juga membabitkan kerajaan negeri serta Majlis Air Negara.

"Kita akan meneliti sekiranya terdapat unsur-unsur pencatutan (namun) kita berharap tak ada, sebab ia hanya membabitkan air dan bukannya barangan secara langsung," katanya.

Beliau berkata demikian selepas pelancaran Program Jualan Ihsan Rahmah (PJIR) sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM 2024) bersama Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh di sebuah pasar raya di sini, hari ini.

Minggu lalu, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span) mengumumkan pelarasan tarif air bagi pengguna domestik di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan yang akan dilaksanakan bermula 1 Februari ini.

Ia bakal menyaksikan kenaikan purata 22 sen bagi setiap meter padu air.

Dalam pada itu, Ab Rauf berkata, kerajaan negeri akan memutuskan tarif baharu air di Melaka, esok.

Katanya, keputusan yang bakal dibuat itu sudah pasti mengutamakan kepentingan pengguna serta pemegang taruh.

Beliau berkata, pelarasan tarif berkenaan tidak akan terlalu membebankan pengguna, sekali gus membantu kelestarian bekalan air kepada semua pihak.

"Had siling pelarasan baharu tarif air adalah 22 sen. Jadi kita akan lihat di Melaka, dalam had yang ada, berapa jauh (dalam lingkungan) 22 sen itu yang Melaka boleh sampai (selaras caj)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 January 2024 @ 2:21 PM