FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Kira-kira 7,000 akaun di Kuala Muda terjejas berikutan operasi Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Selambau terpaksa dikurangkan kerana paras air sungai yang rendah.

Syarikat Darul Aman Sdn Bhd (Sada) dalam kenyataan berkata, kerja-kerja kecemasan pengurangan operasi di LRA terbabit perlu dilakukan malam tadi atas sebab berkenaan serta kerosakan sistem pengepaman air mentah.

"Kawasan yang dijangka terganggu ialah Sungai Division, Ladang Bukit Hijau, Ladang Solar, Ladang Ayam, Taman Kelisa, Taman Kelisa Ria, Zon Anggerik Aman Jaya Sungai Petani fasa empat, lima dan enam, Sungai Petani Height dan kawasan sekitarnya .

"Kerosakan sistem pengepaman (pump multistage) pada 8.30 malam tadi menyebabkan operasi LRA Bukit Selambau terpaksa dikurangkan berikutan kekurangan air mentah untuk diproses.

"Penggunaan multistage pump ini diperlukan apabila paras sungai rendah bagi mengelakkan gangguan operasi LRA Bukit Selambau," kata kenyataan itu.

Menurutnya, sebagai langkah penyelesaian, Sada sedang memasang dua unit pump multistage dengan kadar segera bagi mengelakkan gangguan operasi LRA Bukit Selambau yang akan mengakibatkan gangguan bekalan air kepada pengguna.

"Sada memohon maaf di atas kesulitan yang berlaku dan tindakan untuk penyelesaian sedang giat dijalankan. Bantuan bekalan air melalui lori tangki akan disalurkan kepada pengguna yang terkesan," katanya.

Pada 2 Februari lalu, media melaporkan tiga LRA jenis 'headworks' di daerah Kuala Muda terjejas apabila kawasan tadahan air di Gunung Jerai mengalami penyusutan kesan daripada cuaca panas berpanjangan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mac 2024 @ 3:25 PM