GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (Sada) menyediakan 123 lori bagi menghantar bekalan air kepada pengguna yang terjejas ketika musim perayaan Aidilfitri.

Sada dalam kenyataannya berkata, menerusi pelan kesiapsiagaan Sada sempena Hari Raya Aidilfitri tahun ini bermula 8 hingga 14 April, 84 lori lori kontrak digunakan, 32 lori tangki Sada dan sembilan lori lagi adalah jumbotanker.

"Sada menjangkakan akan berlakunya peningkatan permintaan air melebihi 30 peratus oleh pengguna di seluruh Kedah sepanjang musim perayaan Aidilfitri yang didorong kepulangan warga kota dan perantau ke kampung halaman.

"Selain itu, pengoperasian Sada juga terkesan apabila Kedah mengalami cuaca kemarau ekstrim (fenomena El Nino) sejak beberapa bulan lalu.

"Sehubungan itu, Sada menyarankan pengguna dapat melakukan persediaan awal dengan menyimpan bekalan air sekurang-kurangnya selama dua hari dan menggunakannya secara berhemah bagi mengurangkan risiko terputus bekalan air," katanya.

Menurut kenyataan itu, Sada turut mewujudkan pusat khidmat setempat (PKS) di lima lokasi yang dikenal pasti sebagai kawasan yang berisiko tinggi mengalami gangguan bekalan air.

"Sebuah lori statik akan ditempatkan di setiap lokasi PKS bagi menyelesaikan aduan penduduk dengan kadar segera," katanya.

Pengguna boleh menyalurkan aduan secara terus ke kaunter PKS tanpa perlu menghubungi talian hotline yang dijangka mengalami kesesakan pada musim perayaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 April 2024 @ 10:23 AM