Izlaily Nurul Ain Hussein


SERAMAI 171 individu memfailkan saman menuntut ganti rugi keseluruhan dianggarkan berjumlah RM30 juta terhadap 12 pihak termasuk Kerajaan Johor dan bekas Menteri Besar, Datuk Osman Sapian berhubung isu pencemaran toksik Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, Mac lalu.

Saman yang difailkan oleh 34 pelajar, lapan orang awam dan 129 nelayan sekitar Pasir Gudang selaku plaintif menamakan defendan pertama hingga keempat iaitu Kerajaan Negeri Johor, Osman, Menteri Besar Johor yang ketika itu Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri, Datuk Dr Sahruddin Jamal serta bekas Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Johor, Datuk Dr Mohammad Ezanni Mat Salleh.

Turut dinamakan sebagai defendan kelima hingga ke-12 adalah Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Johor, Ir Che Mohd Dahan Che Jusof; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), Zainor Adani; Ketua Pengarah JAS, Datuk Dr Ahmad Kamarul Najuib Che Ibrahim; Kerajaan Malaysia serta syarikat P Tech Resources Sdn Bhd bersama tiga tertuduh yang didakwa berhubung kes itu, N Maridass, Yap Yoke Liang dan Wang Jing Choa.

Dalam saman yang difailkan melalui Tetuan Kamarudin & Partners itu, 42 plaintif iaitu pelajar dan orang awam memohon satu perintah supaya defendan pertama membiayai kos pemeriksaan kesihatan bagi setiap plaintif bagi tempoh tiga tahun dari tarikh penghakiman selain kos rawatan perubatan selama 10 tahun sekiranya masih mengalami masalah perubatan berbangkit akibat pencemaran itu.

Peguam Kamarudin Ahmad yang mewakili semua plaintif berkata, pelajar dan orang awam itu menuntut ganti rugi daripada defendan atas kecederaan yang dihadapi akibat terhidu gas toksik susulan pencemaran sungai itu.

KAMARUDIN (tengah) yang mewakili keluarga mangsa gas toksik Pasir Gudang menunjukkan saman yang difailkan di Mahkamah Tinggi Johor Bahru. FOTO Hairul Anuar Rahim
KAMARUDIN (tengah) yang mewakili keluarga mangsa gas toksik Pasir Gudang menunjukkan saman yang difailkan di Mahkamah Tinggi Johor Bahru. FOTO Hairul Anuar Rahim

“Plaintif mendakwa mereka mengalami simptom muntah, lemah badan, pening kepala, batuk, demam, sesak nafas, sakit dada dan tekak, tegang otot serta toksik tinggi dalam darah.

“Tuntutan saman ini juga dibuat dengan asas mendakwa semua defendan cuai dalam menjalankan tanggungjawab mereka,” katanya ketika ditemui di perkarangan Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

Turut hadir, 35 daripada plaintif berkenaan.

Lagi berita berkaitan Pencemaran Udara Pasir Gudang

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Julai 2019 @ 5:44 PM