KAMARUDIN (tengah) ketika sidang media di Pasir Gudang. FOTO Hairul Anuar Rahim
KAMARUDIN (tengah) ketika sidang media di Pasir Gudang. FOTO Hairul Anuar Rahim
Mohd Sabran Md Sani


MENTERI Besar Johor dan kerajaan negeri antara 11 defendan akan berdepan tindakan saman difailkan Jawatankuasa Bertindak Mangsa Gas Toksik Sungai Kim Kim dan Keluarga Mangsa Kes Toksik di Mahkamah Tinggi Johor Bahru, 17 Julai ini.

Peguam mewakili mangsa, Kamarudin Ahmad berkata, tindakan itu susulan kesan pencemaran toksik membabitkan 160 penduduk termasuk pelajar, orang awam dan nelayan di kawasan itu.

Katanya, saman berkenaan membabitkan ganti rugi am dan khas, selain ganti rugi membabitkan tuntutan ke atas Irfan Wafiy Idham Wazir, 12, yang kini menderita saraf kaki dan positif Myokimia.

“Tuntutan ganti rugi khas dianggarkan antara RM4,000 hingga RM5,000 perlu dibayar terhadap setiap plaintif (pemohon), manakala ganti am bergantung kepada mahkamah untuk menentukannya.

“Ganti rugi am bernilai RM5 juta membabitkan Irfan Wafiy kerana menghidap penyakit Myokimia, selain keadaan kesihatannya yang serius serta tidak menampakkan pemulihan,” katanya pada sidang media di Pasir Gudang, hari ini.

Menurutnya, selain itu saman difailkan turut membabitkan defendan seperti exco kesihatan negeri, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG).

“Kita akan membuat tuntutan daripada pihak yang sudah dikenal pasti bertanggungjawab bermula dari kerajaan negeri diikuti menteri besar, selain Jabatan Pengairan dan Saliran serta kilang terbabit.

“Bagaimanapun alasan-alasan saman itu akan diserahkan pada tarikh ditetapkan itu,” katanya mewakili kebanyakan 34 pelajar yang terjejas membabitkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Puteri Resort dan SMK Pasir Puteh

Katanya, terdapat lapan jenis kimia dikenal pasti dengan isu pencemaran Sungai Kim Kim.

“Antara kimia toksik terbabit adalah metana, hidrogen klorida, acrylonitrile, acrolein, ethylbenzene, toulene, xylene dan sianida,” katanya.

Mengulas isu kesihatan Irfan Wafiy, Kamarudin berkata, ada pihak mendakwa tiada bukti Myokimia dihidap Irfan Wafiy tidak berpunca daripada pencemaran Sungai Kim Kim.

“Kita ada laporan pakar perubatan yang sudah melakukan pemeriksaan Elektromiografi (EMG) ke atas Irfan Wafiy dan menunjukkan kanak-kanak itu menghidap Myokimia.

“Pakar perubatan percaya, keadaan Myokimia Irfan Wafiy berpunca daripada pendedahan mangsa kepada kimia toksik ketika insiden Sungai Kim Kim,” katanya.

Menurutnya, pihaknya mengambil masa untuk mengesan semua plaintif termasuk mengumpulkan dokumen dan laporan hospital.

“Buat masa ini tidak ada firma guaman lain bersedia memfailkan saman seperti ini, selain dianggarkan kira-kira 1,000 hingga 2,000 mangsa terbabit dalam insiden pencemaran itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Julai 2019 @ 5:33 PM