Dua Pengarah P Tech Resources, Wang Jing Chao (depan) dan Yap Yoke Liang, turut hadir mengikuti prosiding bersama peguam Subramaniam Nair di Mahkamah Tinggi Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Dua Pengarah P Tech Resources, Wang Jing Chao (depan) dan Yap Yoke Liang, turut hadir mengikuti prosiding bersama peguam Subramaniam Nair di Mahkamah Tinggi Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Mahkamah Tinggi, di sini hari ini menetapkan 6 Jun depan bagi keputusan permohonan rayuan meningkatkan hukuman ke atas responden membabitkan kes Sungai Kim Kim.

Hakim Datuk Abu Bakar Katar membuat keputusan itu selepas selesai mendengar hujahan pihak pendakwaan dan pembelaan.

"Selepas mendengar hujahan lisan pendakwaan dan pembelaan, keputusan rayuan kes ini akan dibuat dalam masa tiga minggu iaitu 6 Jun depan," katanya.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Khairul Azreen Mamat, Abdul Ghafar Ab Latif, Nurliyana R Azmi dan Sharifah Natasha Syed Ahmad.

Manakala peguam, N Subramaniam dan S Selvantheran, mewakili responden membabitkan syarikat P Tech Resources Sdn Bhd.

Dua Pengarah P Tech Resources, Wang Jing Chao dan Yap Yoke Liang, turut hadir mengikuti prosiding.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya ketika berhujah menyatakan hukuman denda responden yang sebelum ini dijatuhkan Mahkamah Sesyen perlu dinaikkan berikutan rayuan dibuat pelbagai pihak termasuk kerajaan Johor.

"Sebelum ini beberapa media utama negara melaporkan rayuan Kerajaan Johor yang mahu hukuman setimpal terhadap responden.

"Malah keluarga mangsa terjejas turut dilaporkan menganggap hukuman tidak berbaloi dengan penderitaan ditanggung mereka," katanya.

Bagaimanapun, tindakan pihak pendakwaan menyerahkan eksibit membabitkan keratan akhbar berita berkenaan dibantah pihak pembelaan.

Peguam responden berhujah, tindakan pendakwaan itu tidak relevan berikutan mahkamah tidak membuat keputusan berdasarkan laporan berita.

"Merujuk laporan mangsa yang tidak berpuashati, ketika ini masih berlangsung kes saman sivil membabitkan mangsa pencemaran.

"Dakwaan penderitaan mangsa itu perlu dibuktikan dahulu di Mahkamah Sivil dan ia belum dibuktikan lagi," katanya.

Rayuan hukuman kes berkenaan difailkan JAS pada 4 Disember tahun lalu.

Ketua Pengarah Alam Sekitar, Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar, dilaporkan berkata rayuan itu bagi merayu hukuman yang dijatuhkan susulan rayuan dibuat kerajaan Johor.

Katanya, ia juga berikutan kekecewaan mangsa terjejas dalam pencemaran sisa toksik Sungai Kim Kim, terhadap hukuman yang dianggap tidak berbaloi dengan penderitaan mangsa.

Pada 30 November tahun lalu, seorang pemandu lori dilaporkan didenda maksimum RM100,000 kerana menyebabkan kejadian pencemaran membabitkan pelupusan haram buangan terjadual di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, Johor pada 2019.

JAS dalam kenyataan memaklumkan pemandu lori, N Maridass didapati melepaskan enap cemar berminyak seperti yang tersenarai dalam Jadual Pertama, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005 ke sungai itu.

JAS memaklumkan syarikat P Tech Resources Sdn Bhd, yang berdepan lapan pertuduhan mengikut Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014, juga didenda RM40,000 bagi setiap pertuduhan menjadikan jumlah keseluruhan denda RM320,000.

Kejadian pencemaran sisa bahan kimia pada 13 Mac 2019 itu menjejaskan kesihatan lebih 2,000 orang awam dan menyebabkan 111 sekolah di Pasir Gudang ditutup dipercayai susulan pembuangan sisa toksik di Sungai Kim Kim pada 7 Mac mengejutkan negara apabila 947 orang dirawat dengan sembilan daripada mereka ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Hospital Sultan Ismail (HSI).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Mei 2024 @ 12:48 PM