Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Pelarasan tarif air akan dilaksanakan di bawah Mekanisme Penetapan Tarif (Tariff Setting Mechanism – TSM) bagi pengguna kategori domestik di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan berkuat kuasa 1 Februari depan.

Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span) dalam satu kenyataan berkata, di bawah TSM, struktur dan komponen tarif akan diseragamkan untuk negeri-negeri di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan, manakala tarif air akan dikaji semula setiap tiga tahun untuk memastikan keselarasan dalam penentuan bayaran.

"Pelarasan tarif air bagi kategori domestik tidak lagi boleh ditangguhkan supaya tidak menjejaskan kemapanan industri perkhidmatan air dalam jangka masa panjang sekali gus memberi impak kepada kualiti perkhidmatan bekalan air yang dinikmati oleh rakyat.

"Justeru, pelarasan tarif air yang mencerminkan kos bekalan air sangat penting bagi membolehkan operator air meningkatkan tahap perkhidmatan dalam membekalkan air yang berkualiti secara berterusan," katanya dalam kenyataan.

Menerusi kenyataan sama, Span berkata, melalui semakan tarif ini, operator air lebih bersedia untuk membuat pelaburan berterusan bagi membangunkan infrastruktur sistem bekalan air.

"Ia membabitkan membina atau menaik taraf loji rawatan air, membuat penggantian paip usang, melaksanakan penyenggaraan secara berkala dan menangani aduan dengan lebih cekap demi menjamin kelangsungan perkhidmatan bekalan air dan sekali gus memenuhi ekspektasi pengguna," katanya.

Pelarasan tarif air domestik ini membabitkan kenaikan purata sebanyak 22 sen bagi setiap meter padu.

"Kenaikan ini masih rendah dan tidak dapat menampung kos sebenar penyediaan perkhidmatan bekalan air sebanyak RM1.75 bagi setiap meter padu berdasarkan rekod sebenar 2022.

"Bagaimanapun, bagi meminimumkan impak kenaikan ke atas bil air bulanan rakyat, operator bekalan air di negeri masing-masing disaran untuk meneruskan inisiatif sedia ada iaitu memberikan bantuan kepada pengguna domestik secara bersasar seperti pemberian rebat kepada golongan B40," katanya.

Span menyeru semua pengguna untuk bersama-sama mengamalkan penggunaan air secara berhemah.

Antara langkah-langkah yang boleh diamalkan termasuk menggunakan produk cekap air di bawah Skim Pelabelan Produk Cekap Air oleh Span, memeriksa dan membaiki sebarang kebocoran paip dan pili air di premis masing-masing dan memasang sistem penuaian air hujan dan penggunaan air kitar semula sebagai sumber air alternatif untuk kegunaan bukan minuman.

GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
GAMBAR hiasan. FOTO Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 January 2024 @ 8:49 AM