BERNAMA

Cyberjaya: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal dengan pendirian tidak akan mengambil gaji bagi jawatan yang disandangnya sejak November 2022 itu selagi ekonomi negara tidak pulih sepenuhnya.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata pendirian sama turut diambil oleh Jemaah Menteri berhubung pemotongan gaji masing-masing sebanyak 20 peratus setiap bulan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sidang media Sesi Pemukiman Anggota Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan di Cyberjaya. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sidang media Sesi Pemukiman Anggota Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan di Cyberjaya. FOTO MOHD FADLI HAMZAH

Bercakap pada sidang media sempena program Permukiman Anggota Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan 2024 di sini hari ini, Anwar berkata pendirian itu akan kekal dilaksanakan kerajaan sehingga ekonomi negara kembali pulih.

"Setakat ini, saya umumkan saya tidak ambil gaji, dan potongan 20 peratus bagi yang lain (Jemaah Menteri) selagi ekonomi tidak pulih sepenuhnya... ada perubahan (ekonomi), tetapi belum boleh lagi (ambil gaji)," katanya.

Pada sidang media pertamanya sebagai Perdana Menteri pada 24 Noember 2022, Anwar berkata beliau tidak akan mengambil gaji bagi jawatan itu dan menyifatkan ia sebagai langkah pertama bagi menarik keyakinan rakyat terhadap kepimpinannya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 January 2024 @ 7:04 PM