Ahmad Maslan. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Ahmad Maslan. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Mohamed Farid Noh


Pontian: Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 yang akan diadakan tidak lama lagi perlu melihat dan mencari jalan lebih serius mengatasi kegagalan ekonomi Bumiputera ditingkatkan selama ini.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata kegagalan dan kelemahan itu perlu diakui bagi membolehkan KEB 2024 dijadikan landasan utama memperkasakan semula dan meningkatkan ekonomi golongan itu.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Induk KEB 2024 berkata, data ekonomi Bumiputera termasuk senarai jutawan Malaysia yang dikeluarkan Forbes tahun lalu boleh dijadikan kayu ukur bagi melihat secara serius langkah memperkasakan ekonomi golongan berkenaan.

"Daripada 50 orang bilionair yang disenaraikan Forbes pada 2023, hanya ada tiga org Melayu Bumiputera dalamnya iaitu Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary, Tan Sri Syed Azman Syed Ibrahim dan Tan Sri Azman Hashim .

"Apa yang saya kesalkan adalah bagaimana bangsa 70.1 peratus iaitu Bumiputera di Malaysia ini hanya ada tiga dalam senarai berkenaan.

"Ini menandakan kegagalan kita dalam meningkatkan ekonomi Bumiputera dan ini kita kena akui dalam berhadapan KEB 2024 yang dilaksanakan oleh UMNO dan Kerajaan Perpaduan pada hujung bulan ini.

"Perkara ini perlu diambil maklum kelemahan dan kegagalan kita bagi memastikan pada tahun mendatang, kongres bukan sekadar kongres tapi ia boleh melahirkan orang Melayu dan Bumiputera yang boleh berjaya dalam bidang keusahawanan dan ekonomi negara," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Sahabat Ar Rahnu Cawangan Pontian, di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Lembaga Koop Sahabat, Mohd Najib Mohd Noor.

KEB 2024 dijadual berlangsung pada 29 Februari hingga 2 Mac depan, akan mencipta usaha memperkasa bumiputera dalam soal teknologi baharu dan pelan futuristik untuk generasi akan datang.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, KEB akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) juga akan menetapkan hala tuju dan pendekatan baharu agenda bumiputera.

Dalam pada itu, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian mencadangkan supaya gerakan dilakukan bagi mengalakkan lebih 400,000 pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) supaya menjadikan kerjaya usahawan pilihan utama.

Katanya, ia berikutan anak muda Bumiputera dilihat mempunyai kecenderungan menjadikan kerjaya makan gaji sebagai kerjaya pilihan utama mereka.

"Bukan saja lebih 400,000 lepasan SPM malah ratusan ribu lepasan Bumiputera membabitkan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), diploma, ijazah mahu pun lepasan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) perlu digalakkan supaya budaya makan gaji tidak dijadikan pilihan utama kerjaya mereka.

"Perlu jadikan pilihan kerjaya keusahawanan pilihan utama dan nombor satu barulah kita boleh menguasai ekonomi. Jika tidak entah berapa puluh tahun lagi kongres, ekonomi Bumiputera akan kekal seperti itu berbanding kaum lain," katanya.

Sementara itu, Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya berkata, Pengerusi Bersama KEB 2024, Ahmad Zahid dan Rafizi Ramli yang juga Menteri Ekonomi, akan mengumumkan topik perbincangan pada kongres itu nanti.

"Sudah ada 10 kluster topik perbincangan ditetapkan untuk KEB 2024 dan ia akan diumumkan Pengerusi Bersama kongres nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 January 2024 @ 1:11 PM