GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Nur Elysa Amirah Suhaimi

Kuala Lumpur: Calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dinasihatkan mengamalkan pemakanan seimbang dan rehat secukupnya selain menjaga diri daripada dijangkiti Covid-19.

Pakar Kesihatan Awam, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata, selain memberi tumpuan sepenuhnya kepada peperiksaan, calon SPM juga perlu menjaga diri sendiri dengan tidak pergi ke tempat yang sesak kerana Covid-19 masih lagi aktif di negara ini.

"Dapatkan rawatan segera jika tidak sihat dan rehat secukupnya supaya cergas dan bertenaga pada hari peperiksaan," katanya ketika dihubungi.

Zainal berkata, calon SPM juga perlu menjauhi perbuatan merokok dan menghisap vape yang boleh mengganggu tumpuan ketika menduduki peperiksaan.

"Kandungan nikotin yang terdapat dalam vape dan rokok akan menyebabkan ketagihan dan gangguan pernafasan, mungkin akan mengganggu daya tumpuan ketika peperiksaan," katanya.

Menurutnya, kes tekanan, kemurungan dan penyakit mental dalam kalangan remaja semakin meningkat disebabkan tuntutan akademik, kehidupan berkeluarga dan ekonomi.

"Oleh itu, ibu bapa perlu memainkan peranan dalam memantau anak-anak, jangan terlalu sibuk dengan kerja sehingga mengabaikan kesihatan mereka," katanya.

Seramai 395,870 calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 di 3,340 pusat peperiksaan seluruh negara.

Ujian Bertutur Bahasa Melayu dilaksanakan bermula 8 hingga 11 Januari ini manakala Ujian Bertutur Bahasa Inggeris (17-23 Januari), Ujian Mendengar Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris (29 Januari) dan peperiksaan bertulis (30 Januari hingga 7 Mac), sementara Ujian Amali Sains telah dilaksanakan pada 5 hingga 7 Disember lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 January 2024 @ 12:49 PM