Fadhlina menghadiri Majlis Pelancaran Bantuan Banjir Wanita PKR ke Pantai Timur di Presint 10 di sini hari ini. Foto Samadi Ahmad.
Fadhlina menghadiri Majlis Pelancaran Bantuan Banjir Wanita PKR ke Pantai Timur di Presint 10 di sini hari ini. Foto Samadi Ahmad.
Samadi Ahmad


Putrajaya: Pelaksanaan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 akan diteruskan seperti dirancang bermula Isnin ini.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, kementerian sudah membuat persediaan awal membabitkan Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).

Menurutnya,sebelum ini KPM sudah ada pengalaman menguruskan calon SPM yang berdepan banjir dan menghadapi sedikit kesukaran sekiranya terputus jalan perhubungan.

"Kementerian menjalin kerjasama dengan agensi kerajaan lain berkaitan bagi memastikan kelancaran perjalanan peperiksaan SPM 2023.

"Kerjasama yang diadakan adalah bagi membantu membawa calon ke pusat peperiksaan," katanya kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Bantuan Banjir Wanita PKR ke Pantai Timur di Presint 10 di sini, hari ini.

Bantuan banjir berjumlah RM300,000 hasil sumbangan badan bukan kerajaan (NGO)dan perseorangan ini membabitkan barangan keperluan untuk diagihkan kepada mangsa banjir di Kota Bahru, Kelantan, Kuala Terengganu dan Kuantan.

Secara keseluruhan, seramai 395,870 orang calon sudah mendaftar untuk menduduki peperiksaan SPM2023 di 3,340 pusat peperiksaan seluruh negara.

Peperiksaan SPM akan bermula pada 8 hingga 11 Januari ini bagi Ujian Bertutur Bahasa Melayu; 17 hingga 23 Januari (Ujian Bertutur Bahasa Inggeris); 29 Januari (Ujian Mendengar Bahasa Melayu); 29 Januari (Ujian Mendengar Bahasa Inggeris) dan 30 Januari hingga 7 Mac (Peperiksaan Bertulis).

Fadhlina berkata,bantuan banjir ini akan diagihkan kepada kira-kira 1,000 mangsa banjir di tiga negeri terbabit banjir yang akan diuruskan Wanita PKR.

Beliau yang juga Ketua Wanita PKR berkata, barangan itu dikumpul sejak Disember lalu antaranyakeperluan makanan, beras dan tuala wanita.

"Kita juga akan mengadakan bantuan fasa kedua melibatkan bahan bacaan dan keperluan sekolah kepada sekolah-sekolah yang terjejas banjir termasuk di Johor selepas ini,"katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 January 2024 @ 7:43 PM