Ramli Ibrahim


Gua Musang: Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menghantar bantuan makanan kepada 172 keluarga Orang Asli di Pos Gob, dekat sini, hari ini.

Mereka terputus makanan sejak seminggu lalu kerana terperangkap di pos terbabit berikutan jalan balak rosak teruk dan jambatan runtuh.

Pegawai Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) daerah Gua Musang, Muhamad Yusrizal Ghani berkata, pihaknya membuat persediaan awal untuk tujuan itu selepas menerima maklumat penduduk Orang Asli di Pos Gob terperangkap dan terputus bekalan makanan.

Beliau berkata, bagaimanapun usaha membuat penghantaran bakul makanan itu terhalang kerana terputus hubungan jalan darat yang rosak teruk akibat hujan lebat.

"Kami terpaksa meminta bantuan Unit Udara JBPM untuk menghantar bantuan bakul makanan itu kepada mereka dan ia mengandungi beras, gula, biskut, serbuk teh, susu, tepung gandum dan sardin.

"Bantuan bakul makanan kepada penduduk Orang Asli di Pos Belatim, Pos Bihai dan Pos Simpor akan dilakukan dalam masa terdekat," katanya ditemui di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gua Musang, hari ini.

Beliau berkata, jalan ke pos terbabit turut rosak teruk dan menunggu arahan selanjutnya mengenai kaedah menghantarnya termasuk menggunakan helikopter sama.

Menurutnya, bantuan bakul makanan kepada 237 keluarga Orang Asli di Kampung Pasir Linggi dan Kampung Aring 5 sudah selesai diagihkan lima hari lalu.

HELIKOPTER Unit Udara JBPM digunakan menghantar bantuan bakul makanan kepada 172 keluarga Orang Asli yang terperangkap di Pos Gob, hari ini. FOTO Ramli Ibrahim
HELIKOPTER Unit Udara JBPM digunakan menghantar bantuan bakul makanan kepada 172 keluarga Orang Asli yang terperangkap di Pos Gob, hari ini. FOTO Ramli Ibrahim

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Unit Udara JBPM Subang, Penolong Penguasa Bomba Mohd Farhan Marzuki ketika dihubungi berkata, penerbangan itu berlepas dari Pangkalan Subang pada 9.35 pagi.

Beliau berkata, bakul makanan itu dikumpul di BBP Gua Musang sebelum dihantar ke Pos Gob dan keadaan cuaca baik memudahkan misi menggunakan helikopter Crew Agusta AW189 itu dilaksanakan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 January 2021 @ 2:43 PM