GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Norzamira Che Noh


Klang: Barang perniagaan yang menghalang laluan menjadi punca pergaduhan membabitkan sekumpulan peniaga di Kompleks Sukan Pandamaran di sini, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, kejadian itu yang tular di media sosial diambil tindakan polis apabila enam individu sudah diambil keterangan.

Beliau berkata, pihaknya sebelum itu menerima laporan pergaduhan itu dibuat seorang wanita berusia 28 tahun Isnin lalu.

"Hasil siasatan mendapati pengadu bersama tiga ahli keluarga membuka beberapa gerai untuk menjalankan perniagaan di kawasan di kawasan Kompleks Sukan Pandamaran.

"Oleh kerana laluan di antara dua gerai dihalang dengan barangan milik gerai ibu saudara pengadu, maka ibu pengadu menegur ibu saudaranya itu.

"Berlaku pergaduhan mulut yang membawa kepada insiden tolak menolak di antara ahli keluarga sebelum dileraikan peniaga berdekatan.

"Pihak polis sudah mengambil keterangan daripada enam individu dan mendapati tiada sesiapa mengalami kecederaan.

"Oleh kerana pergaduhan berlaku antara ahli keluarga, kesemua yang terbabit sudah berdamai secara baik," katanya,

Katanya, orang awam dinasihatkan supaya tidak menularkan video tersebut yang boleh mendatangkan kegusaran masyarakat setempat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 January 2024 @ 2:16 PM