Tuan Ibrahim Tuan Man
Tuan Ibrahim Tuan Man
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Pas menganggap Ahli Parlimen Berus, Datuk Ngeh Koo Ham tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan sensitif berhubung cadangannya supaya pakar perlembagaan dalam kalangan bukan Islam dilantik dalam Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dun Untuk Menggubal Undang-Undang Islam.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, walaupun Koo Ham sudah meminta maaf dan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke mengatakan kenyataan Ahli Parlimen Beruas itu adalah kenyataan peribadi, tetapi rakyat mengenali sikap parti itu yang tidak pernah diam menyentuh dan mencampuri urusan umat Islam.

"Perlu diingat, Koo Ham juga pernah bercakap dalam Parlimen tahun ini berkenaan perkahwinan antara orang Islam dengan bukan Islam di luar negara.

"Lebih celupar lagi, beliau juga pernah menggesa mana-mana pihak supaya menghormati dan tidak mempertikaikan hak orang Islam yang murtad pada tahun 2014 lalu.

"Saya melahirkan kebimbangan dengan kenyataan seperti ini yang seolah-olah mendapat restu mereka yang berkehendakkan kelangsungan kuasa," katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya, hari ini.

Semalam, Koo Ham dilapor memohon maaf atas cadangannya supaya pakar perlembagaan dalam kalangan bukan Islam dilantik dalam Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dun Untuk Menggubal Undang-undang Islam.

Ahli Parlimen DAP itu berkata, beliau langsung tidak berniat masuk campur dalam hal ehwal agama Islam ketika membuat cadangan berkenaan.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, Pas mendukung penuh titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah selaku Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) bahawa orang bukan Islam tidak mencampuri hal ehwal umat Islam.

Beliau juga menggesa agar Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk lebih tegas dalam menegur DAP supaya menghentikan terus tindakan mereka dalam hal ini.

"Pihak berkuasa perlu mengambil tindakan sepatutnya bagi memadamkan persepsi rakyat bahawa isu 3R (kaum, agama, raja) ini hanya terpakai kepada Perikatan Nasional sahaja. Namun, sekiranya membabitkan PH-BN-DAP disenyapkan.

"Pas terus menyeru umat Islam dan Melayu bersatu teguh mempertahankan hak dan memulihara negara demi kesejahteraan Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Disember 2023 @ 10:24 AM